Diterbitkan pada 8 September 2025, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Aktiviti cabaran eksplorasi kenegaraan yang memupuk kefahaman, kerjasama dan nilai kepimpinan peserta.

Pulau Pinang – Sebanyak 171 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama dengan 17 orang fasilitator membina semangat perpaduan dan kepimpinan dalam Program Mahasiswa Negara yang berlangsung di White Resort, Balik Pulau.

Program anjuran Majlis Penggawa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) itu bertujuan untuk memupuk jati diri mahasiswa serta memperkukuh semangat kenegaraan berdasarkan nilai Malaysia MADANI.

Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta dibahagikan ke dalam kumpulan yang pelbagai latar belakang etnik, negeri asal dan bidang pengajian. Aktiviti seperti sesi taaruf, dialog Bicara Malaysia MADANI serta cabaran eksplorasi kenegaraan, dilihat berjaya memupuk kefahaman, kerjasama dan nilai kepimpinan yang tinggi.

Encik Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar , selaku fasilitator sedang memberi taklimat aktiviti kepada para peserta.

Menurut Daniel Dennis, pelajar tahun pertama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, program ini membuka matanya bahawa pemimpin yang baik merupakan pemimpin yang terbuka untuk mendengar dan memahami orang disekeliling mereka. Kongsinya,

Walaupun kami berbeza dari segi budaya dan latar belakang, tetapi di sini kami bergerak sebagai sebuah keluarga.

Sementara itu, Wan Nur ‘Afi Hashmy Wan Rusmadi turut berkongsi pengalamannya melaksanakan modul Smart Tunnel yang menguji ketahanan fizikal dan mental, selain menekankan pentingnya kepercayaan dalam memperkukuh kerja berpasukan.

Manakala, Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann, pula menegaskan bahawa kerjasama antara pelajar, fasilitator dan pihak pengurusan menjadi cerminan masyarakat Malaysia yang diidamkan.

“Nilai muafakat, saling menghormati dan ihsan yang diasah di sini adalah bekalan sepanjang hayat,” ujar beliau.

Program berakhir dengan laungan “War Cry” dan nyanyian lagu Negaraku yang menggambarkan semangat perpaduan tinggi dalam kalangan peserta. Pengerusi Majlis Penggawa, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, berkata bahawa kejayaan program merupakan hasil daripada komitmen semua pihak dalam memastikan kelancaran setiap modul.

“Program ini bukan sekadar melahirkan graduan berijazah, malah turut melahirkan pemimpin yang peka terhadap masyarakat dan bersedia menggalas tanggungjawab,” kata Dr. Abdul Rais Abdul Latiff.

Para peserta turut menyatakan bahawa Program Mahasiswa Negara USM menjadi titik mula dalam membina jaringan persahabatan, nilai murni dan tekad untuk memacu Malaysia ke arah negara bersatu, berdaya saing dan berjiwa besar.

Kredit Foto: Dr. Lim Chee Ann
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi