Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysian Press Institute (MPI) dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) akan membuka lembaran baharu dalam dunia penulisan jenayah yang bukan sekadar melaporkan, tetapi turut memberikan nafas baharu kepada pelaporan jenayah dan penguatkuasaan.
Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong berkata, melalui latihan bersama, bengkel mendalam dan pertandingan menguji ketajaman minda serta keupayaan menyampaikan naratif berkesan, kedua-dua institusi ini akan memperkasakan para wartawan dan pengarang agar lebih peka, beretika dan berwawasan.
“Dengan kerjasama MPI dan ELMU, kita berharap para wartawan dapat membina hubungan yang lebih erat dengan agensi penguatkuasaan serta memahami cabaran dan peranan mereka seterusnya menterjemahkan realiti itu dalam penulisan yang boleh mendidik dan membina kepercayaan masyarakat,” ujar beliau.
“MoU ini menjadi titik tolak kepada gerakan baharu. Laporan jenayah akan menjadi sumber pencerahan dan fakta mengatasi ketakutan supaya media dan penguatkuasaan akan berjalan seiring demi kepentingan negara,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut di Kampus ELMU di Bandar Enstek pada Rabu lalu.
Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed menandatangani MoU itu bagi pihak ELMU, manakala Datuk Yong mewakili MPI.
Datuk Yong selanjutnya berkata, dalam era ketidaktepatan dan sensasionalisme maklumat, kerjasama ini merupakan satu intervensi sivik.
“Usaha ini merupakan satu seruan untuk meningkatkan piawaian pelaporan, memupuk rasa hormat antara media dengan penguat kuasa serta mengingatkan kita bahawa kewartawanan yang baik bukan sekadar mengenai penerbitan berita tergempar, tetapi lebih kepada membina kepercayaan,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Dr. Kassim berkata, kerjasama strategik melalui pemeteraian MoU itu diharap dapat menggerakkan inisiatif Anugerah Media Jenayah ELMU yang pertama seumpamanya bagi mengiktiraf dan meraikan wartawan yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang tersebut.
“Anugerah ini bukan sahaja sebagai penghormatan kepada mutu kerja wartawan, tetapi juga sebagai penanda aras baharu bagi pelaporan yang adil, seimbang dan berani menyampaikan kebenaran kepada masyarakat.”
Tambah beliau, pelaporan jenayah memainkan peranan penting bagi membentuk persepsi awam terhadap isu keadilan, keselamatan dan kesejahteraan sosial.
“Apabila dilakukan secara bertanggungjawab, pelaporan ini bukan sahaja berfungsi untuk memaklumkan, malah mampu mendidik, membimbing serta memperkasakan masyarakat,” katanya.
Namun begitu, katanya lagi, bidang tersebut menuntut kepekaan, ketelitian dan komitmen yang tinggi terhadap prinsip etika kewartawanan.
“Kerjasama antara ELMU dengan MPI menandakan permulaan satu inisiatif yang menggabungkan antara kekuatan akademik dengan amalan sebenar di lapangan, khususnya dalam bidang pelaporan berita jenayah.”
Kolaborasi ini menurut beliau, akan melahirkan generasi baharu dalam bidang media yang memiliki nilai etika, integriti dan tanggungjawab sosial yang tinggi melalui program latihan dan pendidikan terancang.
“Kerjasama ini amat signifikan bagi mewujudkan sebuah platform latihan, penyelidikan dan dialog yang mampu mempertingkatkan profesionalisme dalam pelaporan berita jenayah di Malaysia,” ujarnya.
Dr. Kassim berkata pemeteraian MoU itu bukan sekadar simbolik atau formaliti semata-mata, sebaliknya merupakan satu komitmen bersama untuk membina landskap media yang lebih beretika, bertanggungjawab dan berimpak.
“MPI dan ELMU berkongsi aspirasi yang sama, iaitu ingin memartabatkan kecemerlangan kewartawanan di negara ini. Saya yakin bahawa usaha ini akan membawa manfaat besar, bukan sahaja kepada pengamal media, tetapi juga kepada masyarakat yang menjadi fokus utama perkhidmatan kita semua,” tambahnya.
Yang turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Media Prima merangkap Timbalan Presiden MPI, YBrs. Puan Farrah Naz Abdul Karim; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Ahli Majlis Pentadbir MPI, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaluddin; Ketua Berita TV Network Digital, Media Prima merangkap Ahli Majlis Pentadbir MPI, YBrs. Encik Mohd. Azri Atan; Timbalan Presiden merangkap Pendaftar ELMU, YBhg. Dato’ Wan Azman Wan Omar; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ELMU, YBhg. Datin Noraini Aripin serta Pengurus Besar MPI, YBrs. Puan Norlida Jamain.