Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan – Kerajaan Negeri Pahang melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan Inisiatif Makmur (IM) Pahang dengan memperuntukkan sebanyak RM 2.5 juta bagi penyediaan Buku Rujukan dan Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 kepada 23,784 pelajar di seluruh negeri, sejajar dengan usaha Jabatan Pendidikan Negeri Pahang merealisasikan Aspirasi Pahang 1st.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), baru-baru ini.
Menurut beliau, pendidikan merupakan tonggak utama dan penentu bagi memainkan peranan penting dalam menentukan sesebuah negeri.
Negara tidak hanya maju dengan bangunan pencakar langit, tetapi dengan rakyatnya yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak. Inisiatif ini bukti kesungguhan kerajaan negeri memastikan setiap anak Pahang mendapat akses bahan rujukan berkualiti.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri terus komited dan bertanggungjawab untuk membantu golongan anak-anak yang tidak berkemampuan untuk membeli buku rujukan dan sebagainya. Dalam kes tertentu, mereka terpaksa meminjam dan hal ini menyebabkan mereka kurang selesa, lebih-lebih lagi untuk fokus terhadap pelajaran.

Inisiatif fasa pertama ini memfokuskan empat mata pelajaran teras iaitu, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang diaturkan oleh guru yang berpakaran di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) serta disemak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kandungan yang selaras dengan kehendak kurikulum dan memenuhi standard kualiti yang tinggi.
Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata bahawa insiatif buat julung kali dilaksanakan ini mampu meningkatkan prestasi pelajar di luar bandar.
“Ramai pelajar kita sebenarnya bijak, cuma mereka kekurangan sumber rujukan. Dengan adanya modul berkualiti ini, mereka boleh bersaing pada peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
Pada masa yang sama, seorang calon STAM dari Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Muhammad Hafiq Ramaddan Abdullah mengakui pemberian buku ini menjadi pemangkin semangat beliau dalam menghadapi silibus baharu yang lebih mencabar.
Katanya,
“Modul ini jadi batu loncatan buat kami untuk capai kejayaan lebih gemilang,”
Dengan slogan baharu “Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan”, Inisiatif Makmur Pahang terus membuktikan iltizam teguh kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan sebagai pemangkin kemajuan, sekali gus merealisasikan Aspirasi Pahang 1st ke arah sebuah negeri yang makmur, maju dan sejahtera.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengarah Pendidikan Pahang, YBrs. Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
