Diterbitkan pada 1 September 2025, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dubai — Lebih 200 rakyat Malaysia yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhimpun dengan penuh semangat patriotik bagi menyambut Malam Merdeka 2025, yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai pada Sabtu lalu.

Majlis yang berlangsung di Restoran My Square, DoubleTree by Hilton, Business Bay itu turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia UAE, Tuan Yang Terutama (TYT), Dato’ Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan Konsul Jeneral Malaysia Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman.

Turut hadir, pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi, serta wakil Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, bersama-sama dengan komuniti rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang yang menetap di Dubai dan Emiriah Utara.

Menurut Konsulat Jeneral Malaysia, program ini dirangka sebagai wadah yang menghimpunkan diaspora Malaysia di rantau ini dan menzahirkan semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap tanah air, meskipun berada jauh di perantauan.

Antara pengisian yang menyerikan majlis termasuklah laungan “Merdeka”, nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang, tayangan montaj kemerdekaan, kuiz sejarah kemerdekaan, persembahan kebudayaan serta sesi fotografi bersama-sama dengan para hadirin. Majlis tersebut disifatkan mampu memupuk rasa kekitaan dan silaturahim, sekali gus memperkukuh jati diri nasional dalam kalangan komuniti Malaysia di luar negara.

Lebih bermakna, sambutan tahun ini diserikan dengan penyerahan Jalur Gemilang sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, sebagai simbol kesetiaan, perpaduan dan kecintaan rakyat terhadap negara.

Penyerahan tersebut berlangsung bersempena dengan lawatan singgah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Dubai dan disampaikan kepada Konsulat Malaysia oleh baginda sendiri.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Yang Amat Mulia (YAM), Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail.

Jalur Gemilang diserahkan kepada Konsul Malaysia di Dubai, Muhammad Imran Muhamad Sedek dan Konsul Pejabat Pertanian Malaysia, Mohd Irfan Idrus.

Dalam kenyataan rasmi, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai merakamkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kurniaan itu, yang disifatkan sebagai pembakar semangat kepada seluruh warga perkhidmatan awam Malaysia di UAE untuk terus menghayati erti kemerdekaan walau jauh dari tanah air.

Menurut kenyataan tersebut,

“Penerimaan ini membawa makna besar bukan sahaja sebagai simbol kesetiaan, malah turut memperkukuh peranan misi diplomatik sebagai wadah penyatuan dan penghubung identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara.”

 

Kredit Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi