Diterbitkan pada 1 September 2025, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Geneva — Lebih 200 tetamu termasuk diplomat asing, ketua pertubuhan antarabangsa dan warga diaspora Malaysia dijangka menghadiri Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia Ke-68 yang akan dianjurkan oleh Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 19 September kelak.

Majlis berprestij itu akan diadakan di pejabat World International Property Organization (WIPO) sebagai simbol diplomasi aktif Malaysia di pentas antarabangsa serta usaha memperkukuh hubungan dua hala dengan komuniti global.

Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, makluman mengenai penganjuran majlis itu telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, YBhg. Datuk Nadzirah Osman, semasa keberangkatan khas baginda ke sana baru-baru ini.

Turut berangkat ke Geneva ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail.

Bersempena dengan keberangkatan itu, YTSP Perlis turut menyerahkan koleksi bendera Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan terhadap usaha diplomasi budaya yang dijalankan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.

Pada masa yang sama, Pejabat Perutusan Tetap Malaysia turut menganjurkan majlis doa selamat pada 28 Ogos lalu bersama-sama dengan semua warga Islam pejabat itu, sebagai tanda kesyukuran dan doa kesejahteraan bersempena dengan bulan kemerdekaan.

YBhg. Datuk Nadzirah, dalam kenyataannya berkata bahawa penganjuran majlis seperti ini mencerminkan komitmen berterusan pejabat dan kedutaan dalam memperingati sejarah perjuangan kemerdekaan, selain mempromosi pencapaian negara serta memperkukuh identiti kebangsaan Malaysia yang berteraskan kepelbagaian budaya, agama dan etnik.

Dalam perkembangan yang berkaitan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Berne, ibu negara Switzerland, turut mengadakan Majlis Merdeka Hi-Tea pada 29 Ogos lalu dengan menghimpunkan rakyat Malaysia di sekitar Switzerland sebagai inisiatif dalam mempererat ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan diaspora negara.

“Rakyat Malaysia di luar negara harus terus memelihara semangat patriotisme dan kekal menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia, walaupun di mana mereka berada,” ujar beliau.

Kredit Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi