Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Walaupun dunia pendidikan kini bergerak seiring arus digital, penggunaan majalah tetap relevan sebagai satu daripada alat pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, YBrs. Encik Zahari Awang yang mewakili Pengarah JPN Kedah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Kedah 2025 yang diadakan pada petang tadi bertempat di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, JPN Kedah. 

Beliau berkata, guru perlu memanfaatkan pelbagai bahan dan platform digital dalam pengajaran, termasuklah aplikasi, video, laman sesawang, serta majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

“Majalah dan bahan bacaan lain menjadi pelengkap kepada pembelajaran di luar buku teks, selain mengukuhkan kemahiran literasi maklumat dan digital murid,” jelasnya yang turut menekankan pembudayaan membaca dalam kalangan pelajar melalui Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). 

“Peserta MDK sama ada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah atau guru, disaran berkongsi ilmu yang diperoleh dengan warga sekolah masing-masing bagi meluaskan manfaatnya,” tambahnya lagi.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, YBrs. Encik Zahari Awang.

Jelas beliau, kerjasama erat antara JPN Kedah dengan DBP ini membuktikan betapa pentingnya usaha memperkukuh literasi digital dan pengajaran bahasa yang relevan dengan zaman serta perkongsian ilmu bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim berkata, Program Kembara MDK atau seumpama ini juga mampu mencungkil bakat murid dalam bidang penulisan.

“Program ini bukan sahaja membina jati diri, kemahiran komunikasi dan kreativiti secara holistik, namun menanam semangat berpasukan, kepekaan terhadap isu semasa serta keberanian menyalurkan idea secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menambah, murid berpeluang mengangkat karya ke peringkat yang lebih tinggi melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Hadiah Tunas Cipta yang memberikan pengiktirafan kepada karya puisi, cerpen dan rencana terbaik kepada penulis cilik negara.

Program Kembara MDK Peringkat Negeri Kedah ini menghimpunkan 100 orang pelajar sekolah rendah, 96 orang pelajar sekolah menengah, dan 51 guru sebagai bukti sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh budaya membaca dan literasi digital.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi