Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi satu daripada wahana kreatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sekali gus menggalakkan budaya membaca dan penghasilan karya dalam kalangan murid.
Menurut Penolong Unit Sumber Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sik, Puan Mahfudzoh Syazwani Zainal Abidin, inisiatif ini membuka ruang baharu untuk guru menggunakan karya murid yang baik sebagai bahan pengajaran berkualiti.

“Karya tersebut boleh dihantar ke majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa untuk diterbitkan. Bukan sahaja menarik minat murid untuk menulis dengan baik, malah boleh memberikan sumber pendapatan kepada mereka melalui honorarium serta menjadi pemangkin kepada rakan-rakan lain untuk menghasilkan karya yang baik,” katanya.
“Bagi guru pula, mereka dapat menyalurkan bakat murid kepada saluran yang betul selain mencungkil bakat terpendam,” ujarnya ketika ditemui semasa program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Kedah.

Sementara itu, Puan Thivyah Thiruchelvan, guru Bahasa Inggeris SJK(T) Darulaman, berpendapat bahawa majalah mampu menarik minat murid untuk belajar kerana bahan bacaannya yang rencam dan segar.
“Murid lebih mudah tertarik membaca apabila bahan itu dekat dengan dunia mereka. Majalah seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa menyediakan artikel, cerita dan info semasa yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran di dalam kelas,” katanya.
Beliau menambah, membaca majalah juga boleh menjadi asas kepada penghasilan karya yang cemerlang kerana Dewan Pelajar dan Dewan Siswa merupakan wadah yang baik untuk memulakan kepengarangan.
“Membaca bahan bacaan yang baik dapat menginspirasi penulisan berkualiti tinggi,” jelasnya.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Encik Mohamad Asri Abdullah, guru Sains Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh, yang menganggap majalah bukan sahaja menghidupkan suasana kelas, malah mengasah daya fikir kritis murid.

“Saya menggunakan majalah sebagai bahan dalam kelas kerana cara sebegini lebih menyeronokkan daripada hanya menyalin nota,” jelasnya.
Selain itu, guru-guru ini turut berpandangan bahawa majalah boleh dijadikan medium latihan penulisan kreatif bagi membentuk identiti mereka sebagai penulis muda.
Dengan sokongan berterusan daripada pihak PPD dan guru, penggunaan majalah dalam kelas diyakini dapat melahirkan generasi yang celik bahasa, berfikiran matang dan kreatif.

Program Kembara MDK Peringkat Negeri Kedah menghimpunkan sebanyak 51 orang guru yang terdiri daripada 27 orang guru sekolah kebangsaan dan 24 orang guru sekolah menengah daripada 50 buah sekolah sekitar 10 daerah di Kedah. Sesi Bengkel MDK untuk Guru pada kali ini turut menampilkan Munsyi Dewan Bahasa, Encik Luqmanul Hakim Mohamad Asri, sebagai penceramah jemputan.