Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung dengan keperluan untuk membendung salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
KPM menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, untuk melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bermula pada peringkat sekolah rendah.
Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani salah laku buli yang memberikan implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara.
“Hal ini termasuklah memberikan kesedaran dan memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Nilai hormat, disiplin dan kasih sayang akan diterapkan dalam diri setiap murid,” berikut kenyataan media KPM semalam.
Sementara itu, KPM juga akan memastikan pelaksanaan kempen antibuli akan dilakukan dengan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan impak dan keberkesanannya. Kebersamaan semua pihak adalah dituntut dalam memerangi salah laku buli.
Hal ini demikian kerana sudah menjadi tanggungjawab KPM untuk bersama-sama membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dengan nilai dan akhlak mulia.
Pada waktu ini, KPM sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberikan tumpuan kepada aspek pendidikan karakter merangkumi pembinaan nilai manusiawi untuk melahirkan insan yang beradab, berakhlak dan berintegriti.