Diterbitkan pada 16 Ogos 2025, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa insentif baharu untuk penjawat awam bersempena dengan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang semalam.

Antara pengumuman penting termasuklah peluasan tujuh kelayakan masuk bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Gred Z1 (Tugas Khusus), meliputi Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.

Selain itu, kerajaan turut memperluas pemberian Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM, iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5). Tempoh kelayakan insentif BIPs juga dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun, melibatkan sebanyak 3789 anggota berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Bagi mengiktiraf usaha penjawat awam meningkatkan tahap pendidikan atas inisiatif sendiri, kerajaan memperkenalkan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) berbentuk insentif kewangan, iaitu sekali sepanjang perkhidmatan.

“HPA ini membabitkan peruntukan RM75.7 juta dengan manfaat kepada 91 672 pegawai awam. Jumlah insentif ditetapkan pada RM1250.00 bagi ijazah kedoktoran, RM1000.00 bagi ijazah sarjana, RM750.00 untuk ijazah sarjana muda dan RM500.00 bagi diploma atau setaraf,” ujar beliau.

“Sekurang-kurangnya kita tunjuk bahawa kerajaan galakkan penjawat awam tingkatkan upaya mereka atas ikhtiar dan inisiatif sendiri,” tambah beliau lagi.

Turut diumumkan ialah peruntukan tambahan RM3 juta kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bagi memperkukuh peranannya sebagai rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam pada peringkat Asia dan global. 

Inisiatif Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) di bawah INTAN pula akan diteruskan pada tahun 2026 dengan pembiayaan sehingga 50 peratus atau maksimum RM15 000.00 bagi yuran pengajian.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri Anwar turut mengumumkan syarat pengesahan dalam perkhidmatan berbentuk kemudahan cuti untuk menunaikan ibadah haji penjawat awam tetap akan dimansuhkan, bagi memudahkan urusan ibadah.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi