Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-32 menjadi platform signifikan dalam usaha memperkasakan pendidikan negara menerusi kegiatan penyelidikan berkaitan dengan amalan kepimpinan dan pengurusan sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, amalan kepimpinan yang berwibawa bertindak memperkasakan nilai melalui pendekatan akar umbi untuk membina potensi individu dan komuniti.

“Tanggungjawab pemimpin instruksional (pemimpin pendidikan) adalah untuk menghasilkan penemuan baharu yang dapat memperkasakan prinsip ilmu dan menyelesaikan masalah seharian,” katanya ketika mewakili Menteri Pendidikan dalam majlis perasmian seminar itu di Auditorium Perdana, Institut Aminuddin Baki Induk hari ini.

Menurut beliau, pemimpin pendidikan hendaklah cakna mengupayakan kompetensi dalam penyelidikan dan membudayakan amalan pembelajaran guru melalui komuniti pembelajaran profesional untuk menjadikan sekolah sebagai organisasi pembelajaran.

“Amalan kepimpinan MADANI dapat mengangkat maruah pendidikan melalui budaya hikmah, keadilan, ketelusan dan ihsan.”

“Pemimpin perlu menjadikan sekolah sebagai ladang kesejahteraan yang dapat membangunkan generasi MADANI yang berdaya tahan dan berdaya saing.”

“Masalah pada hari ini amat berbeza dengan masalah yang kita hadapi pada masa dahulu. Dengan perubahan dan kepantasan teknologi serta perubahan budaya dan sosial, kita sebagai pemimpin dituntut untuk memiliki pelbagai kemahiran dan kepintaran emosi untuk menangani isu itu,” katanya.

Tegas beliau, dalam kerangka membina negara MADANI, pemimpin pendidikan merupakan penyelidik yang menjadi tunjang kepada pemacu ilmu dan penyumbang kepada dasar berasaskan bukti (evidence based policy) dan data.

Jelas beliau lagi, kumpulan penyelidik ini menjadi jambatan kepada realiti di lapangan untuk mengangkat fenomena sosial dalam amalan pengurusan serta kepimpinan di sekolah.

Mereka juga berperanan sebagai input kepada penggubal dasar untuk menyalurkan analisis kritikal, cadangan penambahbaikan dan inovasi baharu.

“Penyelidikan sangat penting dan menjadi manifestasi kepada aspirasi kerangka yang membawa kita kepada perkembangan akhlak dan masyarakat yang memenuhi kemaslahatan umat.”

“Kementerian Pendidikan Malaysia menekankan akses pendidikan berkualiti yang terangkum di setiap sekolah tanpa mengira lokasi untuk berhadapan dengan cabaran global yang tidak menentu dan dinamika dunia pendidikan.”

“Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia 2024-2030 menggariskan lima teras strategik untuk menangani isu pendidikan secara komprehensif, sistematik dan holistik sebagai komitmen jitu dalam mencapai hasrat tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menyeru pemimpin instruksional agar mengambil iktibar daripada kejayaan sistem pendidikan Vietnam, Kemboja dan Singapura sebagai penanda aras amalan terbaik kepimpinan pendidikan yang menunjukkan peningkatan, perkembangan dan kadar enrolmen pelajar yang memberangsangkan.

Hal ini termasuklah fokus dalam tindakan dan perkara strategik yang akan menuju kepada misi dan visi yang telah ditetapkan.

“Dalam dunia pendidikan yang kompleks dan sentiasa berubah, pemimpin pendidikan perlu berperanan sebagai penyelidik yang reflektif dan kepimpinannya mestilah responsif, kolaboratif, empatik serta berpandangan jauh.”

“Pemimpin hendaklah terbuka melakukan pembaharuan dengan meneroka dan menguji amalan baharu yang berasaskan data amalan instruksional di dalam bilik darjah serta tatakelola pengurusan organisasi berdasarkan maklum balas yang berterusan.”

“Kita harus cakna akan enam rukun Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cita, hormat, keyakinan dan ihsan, yang menjadi proses pembinaan tamadun negara melalui penerapan prinsip manusiawi dalam amalan kepimpinan. Hal ini sejajar dengan hakikat karamah insaniah,” katanya.

Sementara itu, seminar yang bertemakan “Kepimpinan MADANI Teras Reformasi Pendidikan” tersebut berlangsung selama tiga hari, bermula 12 hingga 14 Ogos dengan melibatkan 101 pembentangan kertas kerja.

Seminar itu juga dihadiri lebih 500 orang peserta dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan nilai MADANI, memperkasakan kompetensi serta menyediakan amalan terbaik dalam kepimpinan pendidikan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi