Diterbitkan pada 11 Ogos 2025, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia , YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan media pagi tadi menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara. 

Usaha tersebut, menurut beliau, melibatkan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM. Oleh itu, SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikannya relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. 

Menurut kenyataan tersebut, audit keselamatan akan segera dilaksanakan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian. 

“Audit ini memberi tumpuan kepada pematuhan semua SOP yang terkait dengan aspek keselamatan. Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan,” jelas beliau.

Selain itu, sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan. Portal ini akan dipermudahkan serta mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi. 

Jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM juga akan ditubuhkan bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan. Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS). 

“Tiada kompromi terhadap salah laku buli. Tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” tambah beliau. 

Program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah turut diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah. 

Tambah beliau lagi, pentadbir, guru serta pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang tidak menguruskan aduan buli berdasarkan kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan. 

“Aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah. Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.” 

Pada masa yang sama, KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi