Oleh Nimoiz T.Y
Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 20:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Lebih 500 orang peserta memenuhi Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) dalam program Bicara Industri bersempena dengan Cabaran BIM 2025 (BIM Challenge) yang merupakan inisiatif untuk mempertemukan pelajar, pensyarah dan profesional industri dalam usaha memperkukuh pengetahuan serta kesedaran terhadap teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modeling (BIM).

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Sabak Bernam. Program ini juga mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama strategik seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), CIDB e-Contruct, myBIM Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Nippon Paint, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Pertubuhan BIM Malaysia, Koperasi PUO Ipoh Berhad dan Koperasi Kolej Komuniti Sabak Bernam Berhad (KKSB).

Dalam sesi perkongsian ilmiah ini, wakil dari CIDB Malaysia, Encik Mohd Hafiz Zahar menekankan peranan dan fungsi CIDB dalam pelaksanaan projek yang berasaskan BIM, yang bukan sahaja membantu menjadikan proses pembinaan lebih sistematik dan efisien, malah memberikan keupayaan kepada semua pihak berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih tepat sepanjang kitar hayat projek.

Beliau turut menyeru agar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memberikan penekanan terhadap elemen digital dalam kurikulum teknik dan vokasional.

Wakil dari CIDB Malaysia, Encik Mohd Hafiz Zahar menekankan peranan dan fungsi CIDB dalam pelaksanaan projek yang berasaskan BIM.

“Sebelum memasuki sektor industri, kita perlu memastikan bahawa pelajar-pelajar TVET pada hari ini bersedia bukan hanya dari segi kemahiran teknikal, malah mempunyai kefahaman yang menyeluruh terhadap proses digital dalam pembinaan terutamanya BIM. Inilah masa depan pembinaan yang kita tidak boleh ketinggalan,” tambah beliau.

Dalam sesi berikutnya, Puan Arifah Ahmad Rashidi dari myBIM Malaysia menekankan peranan pusat latihan dan pendedahan awal kepada platform myBIM Centre, bukan sekadar pusat latihan tetapi ekosistem yang membantu pelajar memahami setiap pemain industri bergerak dan bekerjasama dalam pelaksanaan projek yang berteraskan BIM.

Antara peserta yang turut memberikan buah fikiran termasuklah Ar. Abu Zarim Abu Bakar dari Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Ts. Muhammad Khairi Sulaiman dari Pertubuhan BIM Malaysia.

Sesi ini juga turut melibatkan beberapa pakar dalam bidang masing-masing seperti dari Autodesk Malaysia, Encik Mohd Lutfil Hadi Mohd Hamzah, Nippon Paint, iaitu Ar. IDr. Ts. Qhawarizmi Norhisham dan dari Jabatan Kerja Raya, Cik Nur Hafizah Abu Harith.

Melalui penganjuran program seperti ini, Cabaran BIM 2025 bukan sahaja memperlihatkan potensi teknologi dalam memperkemas industri pembinaan, malah menjadi medan terbaik membina jambatan kerjasama antara dunia pendidikan dengan keperluan sebenar industri.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kurikulum, JPPKK YBrs. Dr. Zamzam Mohd Walid.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi