Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi kenyataan media pada hari ini meyampaikan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang memperkasakan Bahasa Melayu dan membangunkan ekonomi negara menerusi komitmen Kerajaan MADANI.
DBP percaya bahawa tumpuan memperkasakan bahasa Melayu pada semua peringkat menjadi penggerak kepada pembangunan pendidikan, pembinaan tamadun yang berjiwa kerana bahasa mencerminkan akal budi, kesantunan, kebijaksanaan pemikiran, komunikasi dan pembangunan negara yang selaras dengan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“DBP juga menyokong usaha Kerajaan MADANI melakar semula pembangunan negara menerusi RMK-13 (2026-2030) demi kemampanan negara dan kesejahteraan rakyat menerusi usaha memperkukuh tatakelola yang baik dengan pendekatan penyediaan perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas,” tambah DBP.
Usaha kerajaan untuk menaikkan siling ekonomi negara menerusi pemanfaatan teknologi berteraskan kecerdasan buatan, meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), melonjakkan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), dan sektor strategik serta menyeimbangkan kemajuan ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan desa melalui peningkatan daya komuniti.
Seterusnya, tumpuan kepada industri kreatif tempatan atau ekonomi jingga yang akan dirancakkan melalui penghasilan karya tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi, termasuk berasaskan aset seni, budaya dan warisan seiring dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pasaran serantau dan global.
Penghasilan karya dan kandungan kreatif yang mempunyai nilai patriotisme dan identiti nasional akan turut dipergiat.
Maka itu, usaha Kerajaan MADANI wajar mendapat dukungan oleh semua pihak dan DBP akan sentiasa mendukung usaha kerajaan bagi memastikan keadilan sosial dan kesaksamaan peluang dapat dinikmati secara bersama.