Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Program Bicara Kerjaya 2025 bersempena dengan Karnival Program Imersif Tinggi (HIP) berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat pada Khamis mencetuskan inspirasi kepada pelajar sekolah tersebut untuk mencapai cita-cita, selain menunjukkan alam kerjaya kini bukan lagi sesuatu yang asing bagi mereka.
Bertemakan “Menerokai Dunia Kerjaya”, program itu menjadi platform yang signifikan kepada para pelajar untuk memahami secara lebih dekat realiti dunia pekerjaan dan pilihan yang bakal diceburi oleh mereka pada masa hadapan seawal usia.
Menurut Guru Besar sekolah berkenaan, YBrs. Puan Rozana Adam, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kreativiti dan inisiatif Panitia Bahasa Inggeris yang sentiasa tampil dengan idea yang segar dalam usaha memberikan pendedahan awal dalam kalangan pelajar.
“Gabungan murid sebagai moderator, guru sebagai suri teladan serta kehadiran individu profesional sebagai tetamu jemputan menjadikan program ini sangat berkesan dan penuh inspirasi,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial UCMI, YBrs. Encik Mohd Shawani Ahmad Sabri turut kagum terhadap semangat dan budaya kerja yang ditunjukkan oleh warga SK Abdul Samat.
“Tidak hairanlah UCMI terus komited menjalinkan kerjasama ini untuk tahun ketiga berturut-turut.
“SK Abdul Samat sentiasa tampil dengan program yang relevan, dinamik dan berpandangan jauh,” jelasnya.
Yang Dipertua PIBG, Puan Suaibah Abdul Rahim pula berkata, program tersebut merupakan satu daripada pendekatan menyeluruh yang wajar diperluas ke peringkat daerah dengan penyertaan lebih banyak dari sekolah lain.
Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Encik Mohd Haiqal Abdullah Chik juga berpandangan bahawa pendekatan yang diterapkan menerusi program itu bertujuan menjadikan kerjaya sebagai sesuatu yang boleh dicapai dan difahami oleh murid dari usia muda.
“Apabila guru sendiri melakonkan watak profesion tertentu, murid akan lebih mudah membayangkan dunia dewasa dan mampu menyemai cita-cita sejak kecil,” katanya.
Selain itu, program tersebut menampilkan individu-individu yang berpengalaman dalam industri, iaitu Naib Presiden SugarBomb Worldwide, Ts. Dr. Muhammad Zamir Othman; Pensyarah Kanan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Encik Muhammad Radzuan; Pengasas Maman’s Bakery, Puan Aiman Farhana Shaharuddin; Penghibur Profesional (Chukky de Clown Party and Entertainment), Encik Muhammad Shukri Hakim Ramli dan Pengarah Kreatif MFR Creative Studio, Encik Mohd Fais Roslan.
Penampilan kelima-lima individu berkenaan dalam sesi forum sebagai ahli panel jemputan, berkongsi pengalaman, laluan pendidikan, cabaran serta demonstrasi tentang bidang kerja mereka.
Sebagai simbolik kepada komitmen bersama dalam memperkukuh sokongan pembangunan pendidikan murid melalui rangkaian profesional luar, acara menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama telah diadakan antara pihak sekolah dengan panel jemputan.
Antara pengisian lain yang turut menyerikan program termasuklah aktiviti interaktif daripada pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UCMI, aktiviti simulasi perniagaan dalam Inggeris, persembahan kreatif berkaitan dengan kerjaya oleh para guru.
Untuk rekod, program yang menyasarkan murid Tahap 2 serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tersebut merupakan anjuran Panitia Bahasa Inggeris dan Persatuan Bahasa Inggeris SK Abdul Samat dengan kerjasama UCMI.
