Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi menzahirkan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi dalam sistem pendidikan negara pada masa hadapan.

Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM67 bilion kepada sektor pendidikan merangkumi pembinaan sekolah baharu, kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan sekolah termasuk tabika KEMAS serta kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.

“Sehingga tahun 2025, sebanyak 1,200 buah sekolah daif di seluruh negara telah berjaya dinaik taraf,” ujarnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pembinaan sekolah akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu.

Walau bagaimanapun, keizinan bagi pembinaan sekolah vertikal hanya akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar serta ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian.

Dalam aspek penguasaan bahasa, beliau berkata bahawa penekanan akan diberikan kepada pemerkasaan bahasa Melayu pada semua peringkat, sementara bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan serta peluasan bagi pembelajaran bahasa tambahan.

“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama pada peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan,” katanya.

Bagi memastikan kualiti pendidikan kekal berdaya saing dan relevan, Malaysia akan memastikan sistem pendidikan negara berada pada paras purata antarabangsa berdasarkan piawaian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Sebagai langkah untuk memperkukuh asas pendidikan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada umur lima tahun dengan penyediaan lebih banyak kemudahan prasekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula waktu persekolahan yang optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus, serta menambah baik model pendidikan bagi murid pintar, cerdas dan berbakat.

“Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital, termasuklah pengenalan asas kecerdasan buatan bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa hadapan yang bernilai tinggi,” tambahnya lagi.

Jelas beliau, sistem pendidikan negara akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa hadapan dengan meletakkan tanggungjawab pendidikan prasekolah hingga menengah di bawah KPM.

Sementara itu, pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi pula diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa serta meningkatkan kecekapan dasar dan pelaksanaannya.

“Majlis Pendidikan Negara ditubuhkan untuk menyelaras, memantau serta merangka tindakan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan sistem pendidikan negara sentiasa terkedepan dan bertaraf dunia.

“Kerajaan juga akan melaksanakan projek rintis pemberian autonomi kepada universiti awam terpilih bagi memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi,” katanya.

Seiring dengan itu, program latihan dan peningkatan kemahiran berterusan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dari aspek latihan, peningkatan, keberkesana pedagogi serta pelaksanaan kurikulum baharu.

Mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka akan ditambah baik untuk memastikan peluang disediakan kepada calon yang layak, berpotensi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap dunia pendidikan.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi