Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Dalam menghadapi ancaman kebakaran moden yang semakin kompleks dan pantas, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Taklimat Pencegahan Awal Kebakaran Moden dengan kerjasama Pertubuhan Pencegah Kebakaran Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Taklimat ini diadakan sebagai inisiatif universiti dalam membudayakan pengetahuan keselamatan dalam kalangan warga kampus telah diadakan di Bilik Latihan, Bangunan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis dengan dihadiri lebih 30 orang peserta dari pelbagai unit dan bahagian.

Menyedari bahawa masyarakat kini semakin terdedah kepada persekitaran moden yang sarat dengan peralatan elektrik dan bahan mudah terbakar, pihak penganjur percaya bahawa pendekatan pendidikan dan latihan seperti ini adalah langkah penting dalam membentuk masyarakat yang lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi risiko kebakaran
Taklimat ini telah melibatkan penyertaan kakitangan universiti merangkumi staf akademik dan bukan akademik sebagai usaha membina kesedaran menyeluruh terhadap risiko dan langkah keselamatan kebakaran moden.

Menurut Penceramah jemputan yang merupakan ahli Fire Preventors’ Society (FPS), Puan Nurnabila Huda Khairudin berkata bahawa kebakaran moden kini jauh lebih berbahaya berbanding kebakaran tradisional.
“Faktor utama seperti penggunaan bahan sintetik, perabot moden, wayar elektrik berkuasa tinggi serta bahan mudah terbakar yang terdapat di hampir setiap rumah dan pejabat menyumbang kepada kebakaran yang merebak lebih pantas dan menghasilkan asap toksik yang lebih berbahaya,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga minit sahaja, sebuah ruang mampu dipenuhi api dan asap yang cukup untuk mengancam nyawa.
Menurut beliau lagi, ramai yang masih belum sedar bahawa asap tebal yang terhasil daripada bahan moden seperti plastik, fabrik sintetik dan sebagainya boleh menyebabkan mangsa menjadi keliru, hilang fokus, lemas dan menyebabkan kematian sebelum api sempat sampai ke tubuh.
“Asap yang mengandungi gas beracun menjadikan kebakaran moden satu bentuk kecemasan yang harus ditangani dengan kepantasan dan kesedaran tinggi,” tambah beliau.
Dalam sesi taklimat tersebut, beliau turut memberi penerangan tentang keperluan untuk mengetahui jenis-jenis pemadam api dan cara menggunakannya dengan betul.
Beliau turut menerangkan bahawa pemadam api tidak hanya sesuai untuk kegunaan di dalam bangunan malah amat penting untuk disimpan di dalam kenderaan.
Beliau berpesan dengan adanya alat pemadam api dalam kereta, pengguna jalan raya boleh bertindak pantas sekiranya berlaku kebakaran kenderaan di lebuh raya atau kawasan awam.
Setiap tindakan awal yang tepat dalam beberapa minit pertama mampu mengelakkan kehilangan nyawa dan kerugian yang lebih besar.

Selain itu, pemasangan alat pengesan asap juga ditekankan sebagai langkah penting yang sering dipandang remeh.
Beliau menyarankan agar alat ini dipasang di kawasan strategik seperti siling ruang tamu, koridor antara bilik, bilik tidur, kawasan dapur yang tidak terlalu hampir dengan tempat memasak, ruang tingkat atas bagi rumah dua tingkat dan juga di ruang stor yang menyimpan bahan mudah terbakar.
“Kos pembelian alat pengesan asap adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan manfaatnya, malah terdapat model yang boleh dibeli dengan harga mampu milik di pasaran,” ujar ahli Fire Preventors’ Society (FPS), Puan Nurnabila Huda Khairudin dalam taklimat beliau.
Menurut beliau, Alat sekecil itu mampu memberi kelebihan masa beberapa minit yang cukup berharga untuk menyelamatkan nyawa sebelum api menjadi marak.
Taklimat itu turut memberi perhatian kepada isu keselamatan kediaman yang sering diabaikan seperti pemasangan jeriji besi yang tidak selamat pada tingkap.
Amaran diberikan bahawa pemasangan jeriji besi kekal yang tidak boleh dibuka dari dalam rumah boleh menyebabkan penghuni terperangkap semasa kebakaran dan menyukarkan kerja menyelamat oleh pasukan bomba.
Menurut Puan Nurnabila Huda Khairudin, terdapat banyak kes di mana mangsa tidak dapat menyelamatkan diri hanya kerana jeriji tidak dapat dipotong dengan segera terutamanya di kediaman bertingkat dan rumah teres yang tidak mempunyai laluan kecemasan alternatif.
Beliau menyarankan agar pemilik rumah mempertimbangkan pemasangan jeriji keselamatan yang boleh dibuka dari dalam atau menyediakan laluan kecemasan yang mesra pengguna ketika kecemasan.
Beliau juga menyeru orang ramai agar tidak bergantung semata-mata kepada kehadiran pihak bomba untuk bertindak.
“Tindakan awal seperti memberi amaran kepada penghuni lain, mematikan suis elektrik, menggunakan pemadam api yang sesuai, dan membuka laluan kecemasan mampu menyelamatkan nyawa serta dapat mengurangkan kemusnahan,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak panik, sebaliknya bertindak tenang dan berpengetahuan dalam situasi kebakaran.
Taklimat ini diakhiri dengan ilmu asas keselamatan yang perlu dipelajari oleh semua lapisan masyarakat kerana setiap individu adalah barisan pertahanan pertama dalam menghadapi kebakaran.

Program ini mendapat sambutan positif daripada peserta dan pihak penganjur merancang untuk menganjurkan sesi lanjutan dalam usaha membantu masyarakat bukan sahaja memahami teori pencegahan, malah turut mampu bertindak dengan cekap sekiranya berdepan situasi sebenar.