Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 Julai 2025, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muar – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar benar-benar menghayati makna kemerdekaan yang bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, malah merdeka jiwa dan berupaya berfikir berasaskan kefahaman meskipun diakui suatu hal yang sukar.

Menurut beliau, generasi kini tidak boleh melupakan hakikat bahawa kemerdekaan negara tidak berlaku secara spontan, tetapi hasil semangat daya juang, wawasan, keberanian dan pengorbanan generasi terdahulu yang bersatu menolak penjajahan.

Kata beliau, pesanan Dato’ Onn Jaafar mengingatkan bahawa negara tidak akan merdeka jika tidak wujud semangat untuk bersatu yang membangkitkan kekuatan dalaman untuk menolak penjajahan.

“Meniupkan erti kemerdekaan dan memaknai kemerdekaan itu penting” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas pagi tadi.

Jelas beliau, makna kemerdekaan sesebuah negara tidak memadai menggantikan pemimpin asing dengan pemimpin tempatan, tetapi perlu turut menggantikan kerosakan sistem dan sikap pemimpin yang memunggah kekayaan negeri.

“Ganti sikap pemimpin yang bermewah untuk diri serta keluarga dan membiarkan rakyat di bawah tertekan.

“Itu sistem penjajahan yang tawan negeri, sistem politik, ekonomi, pendidikan dan minda kita serta lunturkan semangat agama,” katanya.

Ujar beliau, apabila negara merdeka, rakyat mesti membebaskan diri daripada sikap negatif yang memecahbelahkan masyarakat dan melemahkan kekuatan bangsa, lalu menjadi alat kepada pihak lain.

“Jika tidak memahami erti kemerdekaan dan perjuangan, kita mudah menjadi pak turut.

“Negara telah merdeka, namun rakyat tetap terperangkap dan tidak mampu berfikir secara bebas, lantas menjadi alat ikut-ikutan,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab negara MADANI adalah dengan meneruskan semangat terdahulu yang telah memerdekakan negara kerana setiap pemimpin pada semua peringkat memikul amanah.

Mengulas lanjut, walaupun tidak menafikan jasa orang terdahulu, kerajaan kini beriltizam untuk memperbaiki kelemahan, terutama sikap kepimpinan yang menyalahgunakan kuasa demi manfaat diri dan keluarga.

“Apabila tiba masa giliran anak-anak kita mengambil alih kepimpinan, kita mahukan mereka mewarisi sistem yang lebih baik daripada itu,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Malaysia memiliki ekonomi yang kukuh, pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada sektor industri, teknologi dan zon ekonomi semata-mata sehingga mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Walau bagaimanapun, tanpa pembangunan dan pelaburan, kehidupan rakyat juga tidak terjamin dari segi pekerjaan dan pendapatan.

Dalam hal ini, elemen perimbangan amat penting dengan merujuk kepada konsep ummatan wasata, iaitu masyarakat seimbang dari segi iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi.

“Jika kita mencapai keseimbangan ini, negara merdeka; roh perjuangannya ada; bebas pemikirannya; membawa perubahan ke arah kebaikan; benci akan kezaliman, rasuah, penyelewengan, perpecahan serta amalan untuk memperdayakan rakyat, lantas bangkit sebagai satu kekuatan,” ujarnya.

Negara tidak akan menjadi contoh kepada dunia sekiranya terus berhadapan dengan kelembapan pentadbiran, budaya rasuah dan perpecahan berleluasa, dakwah yang menghina, amalan merompak kekayaan negara dengan kekuasaan.

Tambah beliau, jika semangat kemerdekaan benar-benar mahu dicapai, rakyat perlu menjadi umat seimbang (ummatan wasata) sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran, selain mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.

Sebagai manifestasi sokongan terhadap rakyat di daerah ini, beliau juga mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM10 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan menangani keperluan kecil rakyat di kawasan berkenaan.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek; Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Johor, YBhg. Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi