Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNairobi – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pejabat Nairobi (UNON) terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian pembangunan mampan, kebajikan sejagat dan jaringan kerjasama serantau.
Komitmen ini dizahirkan dalam lawatan delegasi Safar Ilmi MAIPs yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Kompleks PBB, Gigiri, Nairobi.
Dalam kenyataan MAIPs, Ketua Pengarah UNON, Zainab Hawa Bangura berkata, kunjungan ini memperlihatkan sinergi antara inisiatif tempatan dengan usaha global untuk menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Zainab Hawa Bangura turut menyentuh peranan Malaysia sebagai antara negara anggota yang aktif dalam komuniti antarabangsa PBB melalui pelbagai inisiatif kerajaan dalam bidang pembangunan lestari, pengurusan pelarian, bantuan kemanusiaan dan pendidikan.
“Pendekatan ini telah menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik yang diyakini dan dihormati dalam kalangan negara anggota,” jelasnya.
Zainab merupakan tokoh wanita Sierra Leone yang dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, sebagai Ketua Pengarah UNON sejak Januari 2020.

Dalam lawatan selama hampir satu jam itu, delegasi diraja Perlis diberi taklimat mengenai kerja-kerja pembangunan semula kampus UNON termasuklah penaiktarafan fasiliti persidangan, pejabat dan infrastruktur digital.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, TYT Ruzaimi Mohamad; Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta pegawai Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi.
UNON turut mengetengahkan dua agensi yang beribu pejabat di Nairobi, iaitu UNEP dan UN-Habitat yang masing-masing memfokuskan dasar alam sekitar global dan pembangunan bandar mampan.
Pada masa yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis berkongsi pengalaman MAIPs bekerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dalam misi bantuan berasaskan nilai Islam inklusif.
IFRC ialah rakan strategik utama PBB dalam operasi kemanusiaan dan bencana bersama agensi seperti UNHCR, WHO dan OCHA di peringkat antarabangsa.