Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ledakan maklumat daripada pelbagai platform media sosial dan laman berita telah mengubah landskap penyebaran berita secara pantas, namun akhbar tradisional tetap mengekalkan kerelevanannya sebagai sumber maklumat yang sahih dan boleh dipercayai melalui proses penyuntingan ketat serta pengesahan fakta yang teliti.
Perkara itu disuarakan dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari kedua dalam Sidang Pleno 4 yang dipengerusikan oleh Editor Dewan Masyarakat, Encik Abd. Kadir Mohd Ayub.
Pembentangan itu dimulakan dengan pembentangan oleh Editor Dewan Sastera, Encik Muhammad Fadhli Al Akiti yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk Dewan Sastera: Wadah Pemikiran dan Karya Sastera Melayu, dengan menyatakan bahawa kelahiran majalah Dewan Sastera bertitik tolak daripada kesedaran pasca 13 Mei 1969, apabila para intelektual, sasterawan, pemakalah dan wartawan menyedari perlunya sebuah platform yang mampu menyuarakan isi hati rakyat dan menyalurkan pemikiran kritis secara berhemah dan bermakna.
“Bahasa Melayu menjadi wahana dan bahasa ilmu yang mapan untuk menyatukan perpaduan antara kaum pada ketika itu”, ujar beliau.
Beliau juga menyatakan kerelevanan penerbitan Dewan Sastera dalam menyuarakan pemikiran intelektualisme Melayu, serta diiktiraf sebagai nadi perkembangan sastera kebangsaan yang menghubungkan suara sasterawan dengan denyut nadi masyarakat sejak dahulu hingga kini.
“Sewaktu majalah Dewan Sastera diedarkan secara percuma kepada masyarakat, saya mendapati ada individu yang menjual bahan tersebut secara dalam talian dengan harga antara RM20 hingga RM30, sekali gus menunjukkan bahawa nadi dan nilai majalah ini masih kekal relevan serta terus mendapat tempat dalam kalangan pencinta sastera hingga ke hari ini”, jelas beliau.
Dalam kertas kerjanya juga, beliau turut menjelaskan peranannya sebagai Editor Dewan Sastera, yang meliputi peranan mikro dan makro.
Dari sudut mikro, beliau bertanggungjawab menyunting dan menilai kualiti karya yang diterima agar menepati piawaian bahasa dan estetika sastera, selain pemilihan karya yang bersesuai berdasarkan tema dan nilai sastera.
Manakala dari sudut makro, beliau memperlihatkan pembinaan ekosistem sastera semakin berkembang dan bergerak maju dengan menyokong keterlibatan pelbagai suara dan buah fikiran dalam majalah Dewan Sastera.

Sementara itu, Pengarang Berita Harian, Encik Mohd Nazmi Yaakub membentangkan kertas kerja yang bertajuk Kolum, Rencana dan Minda Pengarang Mencerdaskan Pembaca dengan Wacana Berfakta dan Seimbang menyatakan bahawa gelombang digital yang semakin pesat dalam media sosial telah mengubah landskap penyebaran informasi secara drastik, hingga membuatkan pengguna menjadi pihak pertama yang ingin melaporkan berita dengan pantas.
Kata beliau,
“Pada masa ini, setiap individu tidak kira apapun jawatan mereka berlumba-lumba untuk melaporkan berita dengan pantas untuk memperoleh liputan eksklusif dan menarik perhatian pembaca tanpa merujuk fakta yang sahih.”
Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa akhbar tradisional sukar menyaingi media sosial dari segi kepantasan penyampaian berita kerana media sosial membolehkan maklumat disebarkan serta-merta tanpa melalui proses penyuntingan dan penerbitan yang formal seperti dalam akhbar cetak.
Namun begitu, media sosial setakat ini masih belum berupaya menyaingi satu lagi kekuatan yang dimiliki oleh akhbar tradisional, iaitu kewujudan ruangan rencana yang menawarkan analisis secara mendalam, pandangan kritis serta kupasan isu secara lebih berwibawa dan berfakta.
“Berita Harian memperuntukkan ruangan rencana sebagai wadah untuk mengutarakan pandangan editorial yang berasaskan fakta, analisis mendalam serta pertimbangan profesional terhadap isu-isu semasa yang memberikan impak kepada masyarakat dan negara”, ujar beliau.

Pada masa yang sama, Personaliti Televisyen yang juga Ikon Bahasa, Encik Ahmad Fedtri Yahya turut mengemukakan pandangan berkenaan isu ledakan maklumat media sosial yang melanda masyarakat masa kini.
Kata beliau, dalam landskap media baharu hari ini, keabsahan fakta yang sahih amat penting bagi membezakan antara maklumat yang benar dengan berita palsu dan fitnah yang boleh mengelirukan pemikiran masyarakat.
Oleh hal yang demikian, setiap pemain media, termasuk pengguna media sosial, perlu lebih peka terhadap sumber maklumat yang dikongsi, malah berperanan mendidik masyarakat agar lebih celik media dan mampu menilai kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Turut hadir dalam Seminar Kebangsaan ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anuar Rethwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Encik Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; YBhg. Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor serta karyawan DBP.