Diterbitkan pada 24 Julai 2025, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu media bercetak yang berhadapan dengan ledakan penerbitan digital, menjadi fokus perbincangan para panel dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, iaitu YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir berkata bahawa media bercetak akan terus relevan sekiranya penerbit menawarkan penerbitan fizikal yang unik.

“Majalah akan terus hidup jika menggunakan pendekatan teknologi dan digital serta pada masa yang sama editorial juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan selera pembaca,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Daripada Kertas kepada Skrin: Kelangsungan dan Transformasi Majalah dalam Era Digital”.

Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Daripada Kertas kepada Skrin: Kelangsungan dan Transformasi Majalah dalam Era Digital”.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa masa hadapan media cetak bergantung pada inovasi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam era digital, strategi pemasaran kreatif dan kolaborasi penting untuk menarik generasi muda.

Perkara ini turut disokong oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf,  YBrs. Puan Firdaus Dato’ Dr. Hishamuddin. Katanya,

Wartawan perlu menulis dua hingga tiga artikel setiap hari. Selain menulis, wartawan juga perlu menyediakan video mudah alih (MOJO) serta audio siar (podcast).

“Kewartawan sebenar belum ‘mati’ tetapi caranya berubah. Ketiga-tiga perkara ini perlu dibuat oleh wartawan supaya dapat menarik minat pembaca, penonton dan pendengar,” ujarnya semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Media Cetak Lawan Media Digital: Siapa Untung, Siapa Rugi?”.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf,  YBrs. Puan Firdaus Dato’ Dr. Hishamuddin ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Media Cetak Lawan Media Digital: Siapa Untung, Siapa Rugi?”.

Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Md Shahri Saripan pula berkata bahawa media berbahasa Melayu perlu terus berubah dan berinovasi dalam menghadapi arus globalisasi serta perubahan teknologi. Perkara ini juga bergantung pada kerjasama antara kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan masyarakat.

“Organisasi media kecil berbahasa Melayu kini berhadapan dengan kekangan kewangan untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi. Tambahan pula, generasi muda lebih cenderung kepada media sosial berbahasa Inggeris,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Media Berbahasa Melayu Mendepani Cabaran”.

Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Md Shahri Saripan ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Media Berbahasa Melayu Mendepani Cabaran”.

YBrs. Dr. Hamidi Mohd Adnan, Pengerusi Persatuan Editor Malaysia ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Transformasi Digital dan Kemerosotan Majalah Bercetak” pula menyatakan bahawa majalah tradisional boleh bertahan bagi tempoh 10 tahun akan datang dengan menggunakan model langganan digital, integrasi multimedia dan model hibrid. Katanya,

Model ini menarik minat pembaca yang sanggup membayar bagi mendapatkan kewartawanan berkualiti dan laporan mendalam. Sekarang banyak majalah menghasilkan audio siar, video dan artikel interaktif untuk meningkatkan pelibatan audiens serta mempelbagaikan saluran penyampaian kandungan.

Pengerusi Persatuan Editor Malaysia , YBrs. Dr. Hamidi Mohd Adnan ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Transformasi Digital dan Kemerosotan Majalah Bercetak”.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, Yang Berhormat (YB.) Tuan Haji Safiee Ahmad dan Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M. Azahari Edin dan Ketua Editor Bahagian Majalah merangkap moderator sidang pleno 1, YBrs. Dr. Rosmani Omar. Seminar ini turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara (SN) termasuklah SN Dato’ Seri Dr. Abdul Samad Muhammad Said (A. Samad Said), SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan  dan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi