Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kigali, Rwanda – Nilai integriti dan semangat patriotik terbukti menjadi pemangkin utama kepada kejayaan sesebuah negara ke arah negara maju dan berdaya saing pada peringkat global.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dalam rangka lawatan dakwah rasmi ke negara Afrika Timur.

Prinsip itu menjadi tumpuan utama dalam sesi lawatan dan libat urus Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama tiga agensi strategik kerajaan Rwanda di Kigali, ibu negara republik itu, sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025.

Ketiga-tiga agensi utama kerajaan Rwanda, iaitu Rwanda Governance Board (RGB), Rwanda Development Board (RDB) dan Rwanda TVET Board (RTB) di Kigali.

Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut bersama-sama dalam lawatan tersebut, Mufti Perlis, Sahibus Samahah Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBhg. Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan jemaah masjid di Kigali Rwanda.

Menurut Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Rwanda menjadi contoh negara yang bangkit melalui kekuatan jati diri, sistem kepimpinan berintegriti, serta patriotisme rakyat yang tinggi, sekaligus menjadi inspirasi kepada usaha memperkukuh hala tuju dan perkhidmatan berimpak di negeri Perlis.

“Nilai integriti dan semangat cintakan tanah air bukan sekadar pelengkap pentadbiran, tetapi asas kepada terbentuknya sebuah negara gemilang,”ujarnya.

Tiga agensi utama kerajaan Rwanda iaitu, RGB diwakili oleh Setiausaha Agungnya Edward Kalisa, RDB pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Juliana K. Muganza, manakala RTB oleh Timbalan Ketua Pengarahnya Nassi Bisengo Agaba.

Ketiga-tiga agensi tersebut memainkan peranan strategik dalam melaksanakan visi pembangunan nasional yang berteraskan perpaduan, akauntabiliti dan kepimpinan berwawasan. Nilai-nilai yang menjadi tonggak kepada kemajuan Rwanda sejak tragedi genosid 1994.

RGB bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus negara menerusi sistem penilaian berprestasi seperti Rwanda Governance Scorecard yang menekankan aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan penyertaan rakyat.

Sementara itu, RDB berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan dan pembangunan ekonomi negara yang menyatukan pelbagai fungsi termasuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pelancongan dan pembangunan sektor swasta, dengan inspirasi model agensi seperti Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB).

Pada masa yang sama, RTB membuktikan bahawa pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional berupaya mengubah nasib golongan belia dan menyumbang kepada pengurangan pengangguran serta peningkatan daya saing ekonomi.

Lawatan dakwah ini turut membuka ruang kerjasama masa hadapan dalam bidang latihan kemahiran, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan institusi seumpama Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), selari dengan agenda MAIPs untuk membentuk rakyat berdaya tahan melalui pendekatan berteraskan nilai dan kemahiran.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi