Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jerantut – Pendekatan “Bacaton” atau baca dan tonton mewarnai pengalaman peserta Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) 2025 apabila karya kreatif menjadi wadah mengetengahkan kesedaran terhadap pemeliharaan sumber air negara secara lebih dekat dan bermakna.

EKSAN kali ke-7 anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memilih negeri Pahang sebagai lokasi utama dengan tema “Pelihara Sumber Air ke Arah Kehidupan Lestari”.

Program ini menghimpunkan 100 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, media arus perdana dan pempengaruh yang diberi pendedahan langsung berkaitan dengan pengurusan sumber air dan kelestarian alam sekitar.

Sesi pelepasan ekspedisi berlangsung serentak di dua lokasi, iaitu di Ibu Pejabat JPS Malaysia oleh Ketua Pengarah JPS Malaysia, YBrs. Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib dan di Menara KOMTUR, Kuantan oleh Timbalan Pengarah JPS Negeri Pahang, YBrs. Encik Ahmad Zaki Ali.

Sepanjang ekspedisi, peserta dibawa ke tiga destinasi utama, iaitu Empangan Kelau di Bentong, Skim Pengairan Paya Gintong di Jerantut dan Taman Negara Kuala Tahan. Di Empangan Kelau, peserta diberi taklimat mengenai fungsi empangan dan rumah pam yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada negeri Selangor dan menyokong sektor pertanian di Pahang.

Di Kampung Paya Gintong, peserta menyertai aktiviti bersama-sama komuniti setempat termasuk mengemping padi dan menikmati suasana desa berlatarbelakangkan sawah yang menerima air daripada rumah pam JPS. Interaksi ini memperlihatkan secara langsung kaitan antara sistem pengairan dengan kehidupan luar bandar.

Eksplorasi diteruskan ke Taman Negara Kuala Tahan dengan peserta menyusuri Sungai Tahan dan Sungai Tembeling untuk menghargai keindahan hutan hujan tropika serta menyertai aktiviti konservasi bersama-sama masyarakat orang asli suku kaum Bateq. Mereka turut diberi pendedahan mengenai kepentingan spesies ikan seperti ikan kelah bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem sungai.

Para peserta menikmati pemandangan hutan di Taman Negara Kuala Tahan.

Satu lagi inisiatif penting ialah pelepasan anak ikan ke Sungai Tembeling hasil sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang sebagai simbol pemuliharaan sumber air dan biodiversiti.

Peserta menyusuri Sungai Tahan dengan menggunakan sampan.

Program kesedaran turut diperkukuh menerusi pengisian ilmiah yang dikendalikan oleh Dr. Mohd Sofiyan Sulaiman dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Universiti awam ini merupakan rakan strategik kepada Program Hidrologi Antarabangsa, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO-IHP) Malaysia.

Peserta terlibat dalam program dengan pihak UMT.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pengenalan bioindikator dan kualiti air, pengukuran aliran sungai dan penghasilan lilin daripada minyak masak terpakai yang turut disertai oleh 30 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut.

Kemuncak ekspedisi ialah Program Bacaton yang menghimpunkan 10 kumpulan dalam persembahan pentas termasuk persembahan khas monolog “Aku dan Sungai” oleh pengasas program.

Karya kreatif yang dipersembahkan menggambarkan keprihatinan peserta terhadap isu pengurusan sumber air, di samping menjadikan sungai sebagai sumber inspirasi dalam penulisan puisi dan ekspresi seni.

Melalui pendekatan Bacaton, peserta bukan sahaja memahami isu air secara intelektual, malah berpeluang menghayati dan mengabadikan pengalaman mereka melalui lensa kreatif, menjadikan EKSAN 2025 satu ekspedisi yang berkesan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi