Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Tan Sri Johari Abdul menyeru para pengamal perhubungan awam (PR) dan komunikasi di negara ini agar memainkan peranan menyokong dan mengangkat institusi parlimen yang menjadi ‘nafas’ rakyat.
Menurut beliau, parlimen bukan sekadar medan penggubalan undang-undang, sebaliknya merupakan ruang yang membahaskan isu-isu sebenar, bertukar-tukar pandangan dan merealisasikan masa hadapan negara.
“Tampilkan parlimen sebagai tempat Malaysia ‘berfikir lantang’ dan bantu rakyat melihat parlimen sebagai pusat wacana nasional yang bermakna, bukan sekadar gelanggang politik atau tempat wakil rakyat bertelagah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) 2025 di Universiti SEGi semalam.
Tegas beliau, Parlimen Malaysia komited untuk bekerjasama rapat dengan industri PR dan komunikasi dalam usaha meletakkan parlimen sebagai model perbahasan demokratik, tadbir urus inklusif serta pembentukan dasar yang membina.
“Ketika kita menerajui kerjasama parlimen ASEAN, naratif kita mesti merentasi sempadan. Oleh itu, mari kita bawa komitmen ini ke rantau ASEAN melalui peranan kita dalam Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA),” ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengiktiraf peranan pengamal PR dan komunikasi sebagai rakan kongsi yang strategik dalam usaha memperkukuh kefahaman awam, memperluas pelibatan belia serta mempertingkat kredibiliti institusi.
Beliau turut menggesa semua pengamal PR dan komunikasi untuk menjulang kebenaran mengatasi trend, memperjuangkan komunikasi yang bermakna dan berteraskan rakyat, serta bekerjasama dengan parlimen untuk membentuk generasi yang berilmu, berani dan bersedia untuk memimpin.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video ucapan Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil yang menekankan kepentingan membentuk generasi muda sebagai pelapis media dengan asas etika yang kukuh serta pandangan yang strategik.
Pada masa yang sama, majlis berkenaan turut meraikan pencapaian satu tahun PRactitioners sebagai badan bukan kerajaan yang mengetengahkan peranan pelajar selaku pelapis media masa hadapan.
Pengerusinya, Datuk P. Kamalanathan yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, pencapaian PRactitioners telah mencerminkan potensi besar warga perhubungan awam untuk terus berkembang selaras dengan perubahan zaman.
Sambutan WPRD 2025 yang bertemakan “Membina Jambatan, Menangani Polarisasi” dianjurkan oleh Sekolah Komunikasi dan Rekaan Kreatif dengan kerjasama Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) serta Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners).
Selain itu, diskusi panel menampilkan pakar dan tokoh industri terkemuka seperti bekas Ketua Pengarang Astro AWANI, YBrs. Encik Kamarul Baharin Haron; Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA, YBhg. Dato’ Najmuddin Abdullah; Ketua Pegawai Komunikasi FGV Holdings Berhad, YBrs. Encik Azmi Yaakop; Ketua Komunikasi Grab Malaysia, YBrs. Puan Daisy Sidhu serta Ahli Lembaga Pengarah Am, UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei, YBrs. Encik Edey Suresh.
Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Institut Akhbar Malaysia, YBhg. Datuk Yong Soo Heong; Pengarah Urusan Kolej dan Universiti SEGi, YBrs. Puan Stella Lau; Timbalan Naib Canselor Kolej dan Universiti SEGi, YBrs. Profesor Dr. Sri Kumar dan Ketua Sekolah Komunikasi dan Rekaan Kreatif, YBrs. Encik Amir Heidi Askomi.