Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Kecekapan Pengurusan Persatuan Pelajar yang terancang mampu menyumbang pembangunan sahsiah dan sahsiah kepimpinan secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi institusi pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.

Menurut Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh berkata bahawa pengurusan persatuan pelajar yang cekap dapat melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, membuat keputusan, serta memikul tanggungjawab.

Ujar beliau,

“Para pelajar dapat belajar dengan kaedah bagaimana untuk memimpin pasukan, menyusun strategi dan merancang program dengan berhemah,”

Beliau turut menyatakan bahawa, melalui pengurusan yang berstruktur, pelajar dapat mengasah kemahiran seperti komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan masa, penyelesaian konflik, dan pemikiran kritikal yang amat diperlukan dalam pasaran kerja.

“Pengurusan yang berkesan mendorong ke arah ketelusan dalam penggunaan dana, pelaporan aktiviti, serta hubungan yang baik dengan pihak pentadbiran mencerminkan kepercayaan dan profesionalisme dalam kalangan pelajar,” kata beliau.

Selain itu, beliau juga berkata, para penasihat persatuan juga perlu memainkan peranan yang penting kerana penasihat persatuan merupakan kunci utama kepada pembangunan organisasi pelajar yang mampan dan berdaya saing.

“Para penasihat yang dilantik berperanan memberikan tunjuk ajar kepada barisan kepimpinan persatuan dalam merancang aktiviti, membuat keputusan strategik, dan menyelesaikan konflik dalaman secara professional”, jelas beliau.

Tambahan lagi, para penasihat memainkan peranan sebagai jaringan komunikasi antara persatuan dan pihak pentadbiran universiti.

“Ini membantu menyampaikan suara pelajar dengan lebih sistematik dan mempercepatkan proses kelulusan atau sokongan logistik,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, beliau juga berpandangan bahawa para penasihat mesti mempunyai sikap bertanggungjawab untuk memastikan setiap program atau aktiviti yang dianjurkan memenuhi garis panduan dan etika institusi pendidikan serta tidak menyalahi peraturan.

“Melalui pemantauan dan bimbingan, para penasihat mampu mendidik pelajar agar sentiasa mengutamakan elemen integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam setiap aspek pengurusan persatuan”

“Penasihat bukan sahaja memberikan nasihat dari sudut organisasi, malah turut membantu membentuk karakter dan menyokong keseimbangan akademik pelajar,” tambah beliau lagi.

Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP),UiTM Cawangan Perlis, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh berucap di Dewan Kuliah 5, UiTM Cawangan Perlis.

Ucapan beliau sekaligus memberikan motivasi kepada semua penasihat persatuan dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan dan mencakna peranan penasihat persatuan dalam memberikan panduan dalam usaha melahirkan graduan UiTM bermentaliti kelas pertama dan disegani.

Sebagai rekod, BHEP UiTM Cawangan Perlis pada kali ini berjaya menguruskan 52 persatuan dan kelab yang berdaftar dan aktif dalam menjalankan aktiviti.

Lebih 52 Perwakilan Penasihat Persatuan mendengar ucapan yang disampaikan oleh Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh di Dewan Kuliah 5, UiTM Cawangan Perlis.
Timbalan Pendaftar BHEP, YBrs. Puan Dewi Anis Othman berucap di Dewan Kuliah 5, UiTM Cawangan Perlis

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Koordinator Unit Kepimpinan Pelajar, YBrs. Dr. Shafiq Shahrudin; Koordinator MASMED UiTM, YBrs. Dr.Farah Lina Azizan; Timbalan Pendaftar BHEP, YBrs. Puan Dewi Anis Othman; Penolong Pendaftar Unit Kokurikulum, YBrs. Encik Muhammad Najib Mohd Redzwan; Penolong Pendaftar Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar, YBrs. Encik Ahmad Muaz Mahzair; Pegawai Sukan UiTM, YBrs. Encik Ahmad Faizan Affandi, serta para pegawai lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi