Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kerajaan serta agensi berkaitan terus memperkukuh dasar dan memperluas inisiatif sokongan yang lebih menyeluruh merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, penyelidikan dan pembangunan sosio-ekonomi demi kesejahteraan jangka panjang para pejuang sindrom Tourette di negara ini.
Baginda bertitah, kesedaran dan sokongan awal amat penting bagi memastikan mereka sentiasa menerima perhatian yang sewajarnya. Masyarakat diseru agar lebih cakna dan bersikap inklusif kerana setiap insan berhak berkembang mengikut potensi terbaik mereka.
DYTM Tuanku Raja Muda tertarik dengan pendekatan holistik Tourette Association of Malaysia (TAM) yang menyokong pejuang Tourette dan keluarga, sambil mendidik masyarakat agar lebih inklusif, prihatin dan berempati.
Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Kesedaran Sindrom Tourette di Auditorium Zecon Hotel, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Penaung TAM, Datuk Badrul Hanif Ahmad Hadi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd Razak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff
Program tersebut dianjurkan oleh TAM dengan kerjasama Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Yayasan Bank Rakyat serta rakan strategik lain. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh individu dengan Sindrom Tourette.
Penaung TAM, Datuk Badrul Hanif dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, persatuan ini ditubuhkan sebagai sebuah platform nasional yang memperjuangkan kefahaman, hak dan sokongan terhadap pejuang Tourette serta keluarga mereka.
Perjuangan ini tidak boleh digalas sendirian, malah menuntut kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan sektor swasta.
“TAM kekal komited dalam melaksanakan usaha berterusan menerusi kempen pendidikan awam, khidmat sokongan dan pelbagai inisiatif inklusif demi memperkasakan komuniti Tourette di Malaysia”, tambah beliau lagi.
Bersempena dengan program tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan mengadakan lawatan ke wad kanak-kanak dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak yang terpilih.