Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat mengurniakan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 kepada 13 penerima Ijazah di Istana Negara, hari ini.
Dalam majlis ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan BYDPA kepada 13 penerima Ijazah iaitu, 10 orang pada peringkat Doktor Falsafah (PhD), manakala tiga orang pada peringkat Ijazah Sarjana (Penyelidikan).
Sebanyak dua penerima melanjutkan pengajian di universiti luar negara, manakala 11 orang penerima lagi ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz berkata dalam suatu kenyataaan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa menambah baik dasar latihan dan program penajaan bagi memastikan sumber manusia yang berpengetahuan, terlatih dan kompeten untuk keperluan strategik sektor awam dan negara dapat dipenuhi.
BYDPA merupakan biasiswa paling berprestij di bawah JPA yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 bagi penajaan kepada warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik, bahkan aktiviti ko-kurikulum seperti aktif dalam penglibatan aktiviti kemasyarakatan atau penghasilan kerja kreatif yang mengandungi elemen kreatif dan inovatif.
Sebagai rekod, sepanjang tahun 2025, sebanyak 20 sesi penawaran telah diberikan kepada 225 warganegara Malaysia yang telah menerima penajaan BYDPA dengan anggaran 117 orang pada peringkat PhD, manakala 108 orang pada peringkat Sarjana dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Ekonomi, Undang- Undang, Kewangan Islam dan Kecerdasan Buatan.
JPA menjunjung kasih KDYMM Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ismail yang berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan BYDPA tahun 2025.