Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran International Healthcare Week 2025 (IHW 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 16 hingga 18 Julai 2025 selaras dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab eksport produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), YBrs. Encik Abdul Halim Mohamed Shariff, IHW 2025 juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Perdagangan Nasional (NTBP) yang menekankan aspek pengukuhan eksport bernilai tinggi, inovasi dan teknologi.
Katanya, IHW 2025 merupakan acara unggul yang menjanjikan pendedahan kepada teknologi terkini serta kerjasama strategik antara negara serantau dalam industri penjagaan kesihatan.
“IHW 2025 merupakan sebuah platform mega yang merangkumi keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan global daripada peranti perubatan, farmaseutikal, makmal kesihatan sehinggalah ke teknologi digital kesihatan,” ujarnya ketika ditemu bual oleh pengacara Bernama TV, Izu Yusof dan Natasha Aimee dalam program “Apa Khabar Malaysia”.
Sehubungan dengan itu, Abdul Halim juga berkata pelancongan perubatan di Malaysia semakin mendapat pengiktirafan global. Pada tahun lepas, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah satu destinasi terbaik dunia dalam sektor pelancongan kesihatan, mengatasi pesaing serantau seperti Singapura, India dan Türkiye.

“Perkara ini mencerminkan kepercayaan dunia terhadap sistem penjagaan kesihatan rakyat di negara ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau berkata, dua inisiatif utama yang akan diterajui oleh MATRADE dalam IHW 2025 ialah penganjuran seminar Malaysia Healthcare Day dan penyelarasan Astaka Malaysia.
“Malaysia Healthcare Day akan menampilkan sesi pembentangan oleh wakil MATRADE serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengannya untuk mengupas secara menyeluruh mengenai aspek kawal selia dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia serta mengetengahkan potensi peluang perdagangan dan pelaburan yang wujud dalam pasaran tempatan,” tambah beliau.
Oleh itu, Astaka Malaysia akan menampilkan syarikat tempatan yang berpotensi tinggi dari pelbagai subsektor, termasuk peranti perubatan dan farmaseutikal di bawah satu identiti kebangsaan.
“Astaka Malaysia akan memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam inovasi dan kualiti, sekali gus mengukuhkan jenama Made in Malaysia pada peringkat global,” ujarnya.