Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – “Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), bakal menjadi pemangkin hab penting dalam ekosistem pembangunan logistik serantau di Lembah Chuping, Padang Besar.”
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis pecah tanah bagi projek penubuhan UniKL-ASTI di Dewan Warisan, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kampus universiti yang bakal dibangunkan bersebelahan Perlis Inland Port (PIP) itu menawarkan pelbagai program diploma dan ijazah dalam bidang pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ynag berimpak tinggi seperti penyelenggaraan kenderaan berat, pengurusan peralatan mengangkat dan teknologi MRO.
“Saya melihat penubuhan UniKL-ASTI merupakan satu langkah strategik yang bukan sahaja bermakna untuk negeri Perlis, bahkan membangunkan landskap pendidikan dan logistik negara secara keseluruhan.
“Saya juga yakin dengan pendekatan yang berlandaskan industri ini, ianya bukan sahaja melahirkan graduan TVET yang kompeten bersedia menyertai pasaran kerja, malah menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dan negara,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kampus universiti yang bakal dibangunkan di atas tanah seluas 6o ekar itu bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan pendidikan tinggi teknikal berasaskan bidang pengangkutan dan logistik.
Beliau percaya bahawa penubuhan universiti itu akan memberikan komitmen utuh kepada Kerajaan MADANI melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkukuh Agenda TVET Nasional, selain memperluas akses pendidikan berimpak tinggi kepada masyarakat desa serta meletakkan negeri Perlis sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing dalam sektor pengangkutan dan logistik serantau.
“Infrastruktur baharu ini juga bakal menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek mega Perlis Inland Port (PIP) yang menjadi pemacu utama pergerakan kargo rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, dengan nilai dagangan dianggarkan mencecah USD 30 bilion (RM132 bilion) menjelang tahun 2027,”ujarnya.
Beliau juga mengatakan bahawa projek penubuhan UniKL- ASTI kini berada pada fasa akhir peringkat reka dan bentuk selepas perasmian majlis pecah tanah berkenaan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 25 Jun 2028.
“Projek ini bakal dilaksanakan secara reka dan bina dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebagai agensi pelaksana dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai agensi pelanggan.”
“Besarlah harapan kami di KKDW suapaya projek ini dapat diserahkan kepada pihak MARA dengan jayanya mengikut masa, kos dan reka bentuk yang efisien. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, projek ini dapat memberikan nilai tambah yang tinggi terhadap pembangunan negeri Perlis secara khususnya,” jelas beliau dengan rasa harapan yang tinggi.
Majlis pecah tanah ini dirasmikan oleh Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan Warisan, Perlis, semalam.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai, diiringi Raja Muda Perlis (DYTM), Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.