Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai ejen perubahan masyarakat melalui pelaksanaan program Compassion Outreach 3.0, hasil kolaborasi bersama Kolej Komuniti Nibong Tebal, semalam.

Program ini berjaya mengangkat nilai empati dan pemerdayaan komuniti melalui pendekatan latihan kemahiran kulinari kepada 40 peserta yang terdiri daripada 20 orang anak yatim dan 20 pelajar B40, USM.
Dua kursus yang berfokuskan masakan Barat, iaitu Western Mix Platter serta Hamburger & Chicken Fingers telah diperkenalkan dalam sesi pembelajaran yang berlangsung sehari penuh dan peserta dibimbing secara langsung oleh tenaga pengajar Kolej Komuniti dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.

Program ini dikoordinasikan sepenuhnya oleh MPDR, termasuk penajaan menyeluruh dari segi kos penyertaan anak-anak yatim, yang menunjukkan komitmen universiti dalam mendukung prinsip tanggungjawab sosial dan kesaksamaan peluang.

Dalam program ini, dua rumah kebajikan terlibat, iaitu Pertubuhan Bakti Kasih Ayah Bonda yang diasaskan oleh Puan Siti Nur Ain Syahirah dan Pusat Jagaan Kasih Abadi di bawah kepimpinan Puan Roslina Binti Sulaiman.
Pengarah Projek, Puan Nur Azura Binti Ibrahim, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program serta sambutan hangat daripada semua peserta.
“Program ini bukan sekadar memberikan peluang untuk belajar memasak, tetapi turut membina keyakinan diri, semangat kerjasama dan memperluas jaringan sosial antara anak-anak yatim denganpelajar USM,” kata beliau.

Menurut seorang pelajar USM, Daniel Anak Dennis menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang menyentuh hati. Dia amat terharu dapat bersama-sama anak-anak yatim dan melihat kegembiraan mereka ketika proses menyediakan makanan barat buat kali pertama. Situasi tersebut dikatakan benar-benar memberikan makna kepada sukarelawan yang terlibat.
“Kami bukan sahaja belajar kemahiran baharu, tetapi turut mendapat pengajaran tentang kesyukuran dan pentingnya untuk kita memberi kembali kepada masyarakat,” tambah rakannya, Muhamad Ikhmal Bin Khairol Nizam.
Menurut Penggawa Desasiswa Restu merangkap penasihat program, YBrs. Dr. Lim Chee Ann berkata inisiatif ini mencerminkan misi USM sebagai universiti perintis yang bukan sahaja mengutamakan kecemerlangan akademik, malah turut memperkasakan komuniti rentan.
“Program ini mengangkat aspirasi para pelajar selaras dengan misi USM dalam penyelidikan transdisiplin dan pengembangan bakat pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Turut hadir memberikan sokongan dan menjayakan program ini ialah Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Nibong Tebal, Puan Nora Ezzati; Penolong Penggawa Desasiswa Restu, YBrs. Dr. Wan Haniza binti Wan Hasan; Ketua Penyelaras Program, Puan Kalsom binti Othman serta Penyelaras Program, Puan Norlia binti Md Bidi.
Menurut Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Nibong Tebal, Puan Nora Ezzati,
Kami amat berbesar hati bekerjasama dengan pihak USM dalam menjayakan program ini. Semangat anak-anak ini sangat luar biasa kerana mereka cepat belajar, bersemangat tinggi, dan sangat menghargai peluang ini.
Tenaga pengajar menyatakan bahawa mereka berasa sangat teruja menyediakan hidangan ini buat kali pertama dengan menunjukkan kesungguhan mereka dengan mendengar dengan teliti setiap arahan, dan membina komunikasi positif bersama fasilitator pelajar USM.
Inisiatif ini turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, yang menerapkan elemen pendidikan tidak formal dan pemerdayaan komuniti dipraktikkan secara menyeluruh.
Compassion Outreach 3.0 menjadi bukti nyata bahawa kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan komuniti mampu mencipta impak yang berkekalan serta memperkukuh gagasan Malaysia MADANI dalam memartabatkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.