Diterbitkan pada 7 Julai 2025, 20:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Yang Amat Berbahagia (YABhg.) Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi.

Kunjungan hormat DBP diadakan dengan hasrat untuk mengundang TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri bagi menyempurnakan Majlis Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala TYT YDP Negeri Sarawak 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai 2025 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

TYT YDP Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama-sama dengan isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi menerima kunjungan dari DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Pertandingan itu merupakan platform penting bagi membina keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar sekolah menengah, di samping memperkukuh nilai MADANI dalam kalangan remaja.

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikongsi bersama-sama dengan Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar termasuk tentang hala tuju pendidikan generasi muda Sarawak, khususnya dalam memupuk bakat kepimpinan dan keupayaan berhujah secara beretika.

Selain itu, pertandingan sedemikian juga disifatkan penting dalam pembinaan jati diri dan keterampilan kepada bakal pemimpin masa hadapan. Inisiatif itu dipercayai mampu mencetuskan kesedaran terhadap kepentingan ilmu, adab serta peranan remaja dalam pembangunan negara.

Pada majlis yang sama, DBP turut memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 pada bulan Jun tahun hadapan di Kuching, Sarawak.

 

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Omar Mahli; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Ismail; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa; Pengurus Projek Forum Remaja MADANI Piala TYT YDP Sarawak, Puan Stephanie Lenya Chaong serta Pegawai Korporat DBP Cawangan Sarawak, Encik Nasir Hamid.

Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi