Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kearifan tempatan Sabah wajar didokumentasikan dan diketengahkan kepada masyarakat. Kenyataan tersebut merupakan rumusan dalam program Aroma Meja Bulat Serumpun Madani yang berlangsung Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Wacana yang menampilkan Dr. Henry Bating, Puan Jamaidah Yahya dan Dr. Raymond Majumah sebagai ahli panel ini merupakan satu daripada program dalam sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dikendalikan oleh DBP Cawangan Sabah.

Program ini membincangkan dan mengupas dua buah buku, iaitu buku Rumah Tradisi Kadayan karya Jamaidah Yahya dan buku Bhahul Puisi Etnik Rungus. Kedua-dua buku ini memiliki keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Jamaidah Yahya ketika membicarakan tentang karyanya menyatakan bahawa buku ini ditulis bertujuan untuk memperkenalkan pembuatan, pembinaan dan ciri khas rumah tradisi etnik Kadayan. Terangnya,

Rasa kebersamaan dan tanggungjawab etnik Kadayan dalam memelihara rumah tradisi mereka wajar dihebahkan.

Puan Jamaidah Yahya ketika menjelaskan tentang rumah tradisi Kadayan.

Kekurangan buku dalam pasaran tentang etnik Kadayan membuatkan beliau berasa terpanggil untuk melakukan penyelidikan dan menulis tentang rumah tradisi ini. Penerbitan buku ini juga merupakan suatu bentuk pendokumentasian yang penting dalam mengangkat citra tempatan.

Dr. Raymond, penulis buku Bhahul Puisi Etnik Rungus pula ketika membicarakan karyanya menyatakan bahawa sastera lisan berbentuk puisi tadisional etnik Rungus, iaitu Bhahul merupakan bentuk sastera yang mencakupi kehidupan masyarakat etnik Rungus. Jelasnya,

Bhahul merupakan puisi etnik yang merangkumi pelbagai perkara termasuk kepercayaan, hal mistik, alam ghaib, kasih-sayang, sikap, pemikiran dan budaya etnik Rungus.

Dr. Raymond Majumah ketika menerangkan tentang buku Bhahul Puisi Etnik Rungus.

Selain itu, beliau juga menjelaskan tentang konsep dan kaedah pengumpulan puisi etnik tersebut.

Saya telah pergi ke pelbagai tempat dan daerah di Sabah untuk mengumpul puisi ini. Saya melakukan kajian lapangan dan mengkategorikan serta menterjemahkan sendiri puisi etnik ini untuk pembaca umum.

Dr. Henry Bating ketika menerangkan tentang keistimewaan kedua-dua buku tersebut.

Dr. Henry Bating pula ketika membincangkan buku tersebut menjelaskan dengan adanya buku ini, maka secara tidak langsung memberi isyarat bahawa tidak akan ada bahasa etnik yang akan pupus. Kedua-dua penerbitan buku ini boleh menjadi modul pembelajaran dan tatapan generasi kemudiannya.

Penerbitan kedua-dua buku ini boleh menjadi jendela untuk mengenali kehidupan etnik Kadayan dan Rungus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi