Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Dalam menghadapi gelombang digitalisasi dan keperluan penyampaian maklumat yang pantas dan berkesan, kursus intensif penulisan yang menggabungkan dua komponen penting kontemporari, iaitu Penulisan di Media Sosial dan Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) telah diadakan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Program yang berlangsung dari 24 hingga 25 Jun 2025 ini telah menghimpunkan sebanyak 40 orang peserta dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Antara tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan penulisan yang lebih terarah, tersusun serta berpengaruh di ruang digital.
Pada masa yang sama, program ini membuka ruang dan medan baharu kepada para peserta untuk mendalami teknik penulisan dalam media sosial yang bukan sahaja memikat, tetapi mengandungi nilai tinggi dari segi informasi dan emosi. Hal ini penting supaya mesej yang disampaikan mampu menyentuh pemikiran dan kesedaran masyarakat.

Peserta dari Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk, Encik Muhammad Amin Naqiudin Mohd Shatari berkata, pengalaman mengikuti kursus ini dianggap sebagai satu nilai tambah yang signifikan buat para petugas kesihatan seperti beliau, lebih-lebih lagi menulis perkara yang berkaitan dengan teknologi makanan kepada masyarakat.
“Kursus ini membuka perspektif baharu tentang cara kita menyampaikan maklumat kesihatan dalam era media sosial, selain gaya bahasa dan bentuk penyampaian memainkan peranan besar dalam memastikan maklumat itu sampai dan mampu dihadam.
“Banyak teknik penulisan yang dipelajari sepanjang kursus ini boleh dimanfaatkan secara langsung,” ujar beliau ketika ditemui.
Kursus ini merangkumi modul penulisan yang menyentuh pelbagai pendekatan praktikal dan strategik. Antaranya ialah teknik penulisan memukau, penggunaan empat kuadran dalam naratif bercerita, serta lima strategi utama membina jenama peribadi yang mantap dalam media sosial.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan 10 kesilapan lazim dalam usaha membina jenama peribadi. Manakala, tujuh jenis kandungan popular yang boleh dimanfaatkan dalam pelantar digital serta 10 tip menulis secara berkesan yang boleh terus diaplikasikan di pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan lain-lain.
Puan Nur Aisyah Mat Nuyah yang merupakan peserta dari Pejabat Kesihatan Daerah Kinta pula, mengakui bahawa program ini telah menyuntik semangat baharu dalam usaha beliau menyampaikan maklumat kesihatan dengan pendekatan lebih kreatif dan inovatif menggunakan Teknologi AI, namun masih menggunakan bahasa Melayu yang betul.
“Kursus ini sangat membuka minda dan memberikan pendedahan jelas tentang peranan penulisan dalam media sosial dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap mesej yang ingin kita sampaikan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, teknik yang dikongsikan amat berguna bagi memperkaya gaya penulisan dan mampu mencetus minat pembaca terhadap kandungan rasmi jabatan.
Program ini dibimbing oleh barisan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang penulisan, komunikasi digital dan grafik media sosial, iaitu Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, Puan Adijah Ayob, Ts. Nor Anisah Mohd Saad, Encik Mohamad Akhyar Mohd Noor dan Encik Tajul Azhar Mohd Tajul Ariffin.
Lebih menarik, kursus ini turut menampilkan elemen pengenalan kepada Teknologi AI dan penggunaan aplikasi Canva AI dalam rekabentuk kandungan visual yang kemas dan menarik, termasuklah infografik, penghasilan borang soal selidik, reka bentuk poster dan lain-lain. Gabungan aspek linguistik dan visual ini dilihat tepat dalam usaha menyeluruh membina keupayaan peserta yang menjadi penyampai maklumat yang serba boleh, selari dengan keperluan komunikasi kesihatan masa kini kepada masyarakat umum.