Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTuaran – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin hari ini berjaya menghimpunkan sebanyak 195 pelajar dan 43 guru dari pelbagai sekolah di sekitar daerah Tuaran.
Sambutan yang memberangsangkan ini memperlihatkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan warga sekolah terhadap kepentingan bahan bacaan bermutu sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ini memberikan penekanan kepada penggunaan majalah terbitan DBP, khususnya Dewan Siswa dan Dewan Pelajar sebagai sumber ilmu yang menyokong pengajaran bahasa Melayu dan berpotensi menyemarakkan minat membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.
Pengisian Program Kembara MDK merangkumi tiga komponen utama, iaitu MDK Dewan Siswa, MDK Dewan Pelajar dan Bengkel MDK untuk Guru yang dirancang secara menyeluruh untuk melibatkan pelajar dan guru dalam pengalaman pembelajaran yang aktif dan kreatif.


Sementara itu, Bengkel MDK untuk Guru telah dikendalikan oleh Munsyi Dewan Bahasa merangkap pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Encik Mohd Farik Haji Madun.
Dalam sesi tersebut, beliau menekankan bahawa guru berperanan penting dalam memberikan galakan berterusan kepada pelajar untuk berkarya, di samping memperkenalkan ruangan penulisan dalam majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa sebagai platform yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.

Aktiviti seperti teka silang kata dan penukaran puisi tradisional kepada puisi moden turut dilaksanakan sebagai contoh aktiviti bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi merangsang pemikiran kreatif pelajar.
Sementara itu, pelibatan pelajar dalam program ini memperlihatkan keterujaan mereka terhadap pendekatan pembelajaran yang lebih santai namun tetap berfokus kepada penguasaan bahasa.
Pelbagai aktiviti seperti penulisan cerpen, permainan bahasa dan pemahaman peribahasa telah dijalankan dengan tujuan mengukuhkan aspek tatabahasa serta kemahiran berfikir aras tinggi.

Irdina Qaaniah Ab Aziz dari Sekolah Kebangsaan Sungai Damit menyifatkan program ini sebagai suatu pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat.
“Saya suka aktiviti interaktif yang dibuat tadi, terutamanya bahagian peribahasa dan tatabahasa. Aktiviti ini menyeronokkan dan membantu saya lebih memahami penggunaan bahasa Melayu dengan cara yang mudah,” katanya.
Nelvania Eva Nonong dari SMK Sungai Damit pula berkongsi pandangannya tentang kepentingan program ini dalam memantapkan pemahaman terhadap penulisan kreatif.

“Saya memang meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Program ini juga tunjukkan cara yang lebih mudah dan menarik untuk menulis cerpen. Saya jadi lebih yakin untuk mencuba menulis selepas ini,” ujarnya.
Cikgu Asni Goring dari SK Lok Yuk Telipok menyifatkan Program Kembara MDK sebagai pendekatan yang berimpak tinggi dalam mendidik pelajar menghargai bahasa Melayu melalui aktiviti yang menyeronokkan dan bersifat aplikasi.
Katanya, program sebegini wajar diteruskan dan diperluas ke seluruh negeri agar dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk membina asas literasi yang kukuh dan menanam minat terhadap dunia penulisan sejak di bangku sekolah.

Program Kembara MDK di SMK Badin merupakan antara pengisian dalam Karnival Madani nan Abadi yang turut menjadi sebahagian daripada acara menjelang Sambutan Ulang Tahun ke-69 di Sabah.