Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat julung kalinya telah melaksanakan Bengkel jurulatih MDK kepada 60 orang guru daripada 53 buah sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya 2, Seremban, Negeri Sembilan, pada hari ini.
Guru yang menghadiri Bengkel Jurulatih MDK ini terdiri daripada guru-guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) di sekitar daerah Negeri Sembilan.
Bersempena dengan program Kembara MDK Peringkat Kebangsaan 2025, guru dilatih sebagai jurulatih MDK untuk membimbing guru-guru di SK dan SMK sekitar Negeri Sembilan untuk pelaksanaan program Kembara MDK yang akan dilaksanakan di semua sekolah di daerah Negeri Sembilan kelak.
Menurut Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa, MDK merupakan program yang diadakan untuk menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan guru dan pelajar.
Pelaksaan program Kembara MDK ini akan membantu guru bahasa Melayu khususnya untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
“Bukan itu sahaja, MDK yang menggunakan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar juga berperanan penting dalam membantu pelajar dari pelbagai aspek pembelajaran dan pembangunan diri termasuklah menyediakan bahan bacaan berkualiti, menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran bahasa dan penulisan, membantu persediaan peperiksaan dan menyokong kurikulum dan aktiviti kokurikulum,” ujarnya.

Turut hadir dalam bengkel ini ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Encik Mohd Aiman Abdol Aziz dan Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP (mantan editor majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa) merangkap penceramah pada hari ini, iaitu Encik Abdul Ghani Abu.
Temu ramah dengan dua orang wakil guru yang mengikuti Bengkel Jurulatih, iaitu Cikgu Wahida Safuan dan Cikgu Kee Poh Lee menunjukkan reaksi positif daripada mereka.
Puan Wahida Safuan yang merupakan guru di Sekolah Tengku Syed Idrus Negeri Sembilan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh DBP. MDK mempunyai pelbagai jenis rujukan untuk pelajar terutamanya dari segi cerpen, puisi dan dalam masa yang sama pelajar dapat mempelajari kosa kata baharu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
“MDK merupakan satu medium pembelajaran yang sangat baik kepada pelajar dan aktiviti yang dijalankan pada hari ini juga amat menarik. Saya boleh mengaplikasikan aktiviti ini kepada pelajar di sekolah bagi menarik minat pelajar untuk membaca majalah Dewan Siswa,” katanya yang teruja dengan aktiviti yang dijalankan.
Ketika ditanya tentang apakah perkara pertama yang ingin beliau terapkan kepada pelajar? Beliau berkata, perkara yang ingin dilakukan termasuklah memperkenalkan majalah Dewan Siswa kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membuat ulang kaji melalui ruangan bimbingan dan pengukuhan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM.
“Saya lihat, banyak topik menarik dalam segmen pengukuhan kosa kata yang dapat membantu pelajar untuk menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu,” kata beliau yang mengajar mata pelajaran Reka bentuk dan Teknologi (RBT).
Cikgu Kee Poh Lee dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Teck Kota, Tampin, Negeri Sembilan pula berkata, pada hari ini, beliau berasa sangat gembira dan faham tentang konsep MDK yang merupakan satu daripada kaedah pembelajaran menggunakan majalah untuk pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah.

Malah katanya, pelajar dari SJKC mungkin bukan sahaja kurang berminat dengan majalah bercetak, bahkan mungkin ada pelajar yang tidak pernah melihat majalah ini.
“Pertamanya saya akan memperkenalkan kepada mereka tentang majalah ini. Yang menariknya, artikel dalam majalah ini sering digunakan di dalam kelas. Saya akan menggalakkan pelajar untuk menghasilkan karya yang bagus untuk dihantar kepada DBP,” ujarnya.