Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Hari Keluarga DBP 2025 anjuran Bahagian Komunikasi Korporat dengan kerjasama Badan Keluarga DBP berlangsung dengan meriah dan mengukir kenangan terindah dalam kalangan karyawan, semalam.
Penganjuran Hari Keluarga tersebut diadakan bersempena sambutan ulang tahun DBP yang ke – 69 tahun dan dihadiri hampir 450 orang karyawan termasuk ahli keluarga di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya.
Ketua Pengarah, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan aluannya, beliau menyifatkan penganjuran Hari Keluarga sebagai satu usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan antara kakitangan dengan keluarga besar DBP.
“Hari Keluarga bukan sahaja medan untuk bersantai dan berhibur, tetapi juga ruang untuk kita memupuk semangat kekitaan, saling menghargai serta menyemai budaya kerja yang positif dalam suasana kekeluargaan.”
Beliau juga menambah bahawa penganjuran Hari Keluarga seperti ini menjadi simbolik kepada usaha mengukuhkan nilai murni seperti hormat, kasih sayang, ukhuwah, dan kerjasama yang selaras dengan prinsip budaya korporat DBP.

Sambutan Hari Keluarga kali ini dimeriahkan dengan penganjuran sukaneka, iaitu terdapat dua kategori. Bagi kategori kanak –kanak, pertandingan yang diadakan ialah cari gula –gula dalam tepung, straw dan getah, bawa bola pingpong dalam sudu, isi air dalam botol dan mencanting batik.
Manakala, kategori dewasa, pertandingan yang diadakan ialah cinta sejati (belon air), bagai serumpun (kain pelekat), kaki gajah (lelaki), kaki gajah (perempuan), boling kelapa, dan lari pakai tempurung.


Sepanjang acara berlangsung, pengumuman pemenang kategori sukaneka dan cabutan bertuah dilakukan secara bergilir-gilir menjadikan suasana lebih meriah dan mencetus keterujaan kepada peserta.


Yang turut hadir dalam Hari Keluarga DBP ialah Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohamad Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Promosi dan Pengikitirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Pentadbiran Am, YBrs. Encik Hasmadi Ali, Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, YBrs. Puan NorHasmanalinda Mustapa dan karyawan DBP.