Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada pukul 2.00 petang tadi.

Allahyarham merupakan ahli akademik berkelulusan pengajian perubatan dari Universiti Kaherah, Mesir dalam bidang psikiatri dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga bidang psikiatri forensik dari Universiti Monash, Australia.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2018, beliau pernah berkhidmat di beberapa universiti termasuklah di UKM, Universiti Islam Malaysia (UIM), Cyberjaya dan Profesor Adjung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain pernah menjawat jawatan sebagai Felow di Akademi Perubatan Malaysia, beliau juga merupakan Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2016-2019).

Minat beliau yang mendalam terhadap bahasa Melayu dan sastera telah melonjakkan beliau sebagai penulis prolifik yang menghasilkan banyak karya yang memberikan impak terhadap khalayak pembaca termasuklah dalam bidang psikiatri, perubatan Islam, pengembaraan kemanusiaan, komentari sosiopolitik dan puisi.

Selain itu, beliau telah menghasilkan kertas kajian saintifiknya dalam bidang perubatan. Beliau juga pernah menjadi kolumnis majalah Dewan Masyarakat terbitan DBP (2018 hingga 2024).

Ombak Aceh Tsunami Insani, karya Allahyarham Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom yang mengangkat tema kemanusiaan.

Antara hasil karya beliau yang diterbitkan oleh DBP termasuklah Ombak Aceh Tsunami Insani, Anak Gunung Selat Sunda, Kumpulan Puisi: Saudara Sedarah Satu Sejarah-101 Puisi Bergambar, Muara Qalbu, Mengharungi Samudera Menggapai Angkasa serta Perubatan Moden dan Ruqyah Syar’iyyah.

Karya ini mengisahkan pengembaraan tiga orang sahabat dalam mempertahankan Muara Qalbu dan Mukim Dili yang diserang dari laut.

Sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, beliau berkhidmat dengan cemerlang dalam memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan fungsi DBP dan juga memperkasakan DBP sebagai sebuah organisasi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika mengulas tentang khidmat bakti beliau yang cemerlang menyatakan,

“Beliau merupakan pejuang tulen, penulis, sasterawan, pemikir, malah agamawan yang berusaha dengan bersungguh-sungguh menggalas amanah besar di pundaknya dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Idea dan pemikiran beliau termasuklah isu bahasa, sastera, sosial dan kemanusiaan yang digarap menerusi penulisannya yang begitu bererti dan sentiasa relevan, khususnya bagi semua pejuang dan pencinta bahasa Melayu dan khalayak pembaca di luar sana.”

Karya ini mengandungi kumpulan 51 esei berasaskan pemikiran penulis.

Pemergian Allahyarham Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom merupakan kehilangan yang besar, khususnya buat warga DBP yang akan sentiasa mengenang jasa dan budi beliau sebagai tokoh yang merendah diri dan disenangi menerusi perwatakannya.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi