Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak enam buah buku umum pembelajaran bahasa Mandarin bakal diterbitkan hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, sekali gus membuka ruang pembelajaran bahasa tersebut kepada khalayak lebih luas dan tidak terhad kepada murid sekolah.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak berlangsung pada hari ini dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan tidak pernah menafikan kepentingan bahasa sukuan atau etnik.
“DBP mempunyai pelbagai program khas untuk bahasa sukuan dan etnik di bawah Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK). Untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asal dan Orang Asli pula, terdapat Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Sastera yang berperanan memelihara bahasa sukuan dan bahasa etnik demi memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan.
“Maka itu, terhasillah buku umum pembelajaran bahasa Mandarin dengan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu ini,” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato’ Goh Hin San berkata, bahasa Mandarin kini menjadi bahasa ketiga paling mendapat perhatian dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini atas dorongan faktor ekonomi.
“Bagi buku umum pembelajaran ini, bahasa pengantar ditulis dalam bahasa kebangsaan. Saya percaya bahasa Melayu harus dijadikan bahasa pengantar untuk mempelajari bahasa-bahasa dunia, termasuk Mandarin,” katanya. Tambah beliau, buku ini juga boleh dimanfaatkan oleh penutur bahasa Mandarin untuk mempelajari bahasa Melayu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Mohamed; Ketua Editor Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Pengarah Urusan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBrs. Puan Ming Lee Goh serta Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YBrs. Encik Yew Chin Lai.
Terdahulu, Pusat Kebudayaan Han telah mengadakan kunjungan ke DBP pada 30 April lalu untuk membincangkan hasrat menerbitkan buku panduan pembelajaran bahasa Mandarin yang disasarkan kepada masyarakat umum, sejajar dengan usaha memperkasakan pelbagai bahasa melalui bahasa kebangsaan.