Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyokong usaha transformasi digital bagi organisasi media negara.

Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tengah hari tadi.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan bersetuju untuk memperuntukkan satu dana yang relatif besar bagi membantu organisasi media,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan dimulakan menerusi Projek Sigma sebagai langkah awal walaupun bantuan dana berkenaan secara keseluruhannya merangkumi pelbagai pendekatan, termasuk latihan serta pendedahan kepada wartawan muda untuk merealisasikan transformasi digital media tempatan.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Inisiatif ini penting supaya dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar arus perubahan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya sambil menegaskan kepentingan keseimbangan antara penggunaan AI dengan etika kewartawanan.

Jelas beliau, peruntukan tersebut merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah negara sejak merdeka, khususnya dalam usaha memperkasakan wartawan dan penggiat media.

Mengulas tema HAWANA 2025, iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, beliau berkata pembawaannya amat signifikan dan tidak boleh dipandang enteng dalam kerangka pembinaan sebuah negara MADANI.

Tegas beliau, pengamal media perlu bijak mengimbangi antara fokus mengejar kemajuan yang “menggapai langit” dengan pemeliharaan nilai dan etika bersandarkan pada kebenaran serta keadilan yang “berakar ke bumi”.

Pengerusi BERNAMA, YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan) ketika menyerahkan buku From a Rented Bungalow: The BERNAMA Story, yang memerihalkan sejarah perjalanan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (tengah).

Beliau turut mengingatkan para wartawan agar menolak amalan manufacturing consent, iaitu perbuatan menggunakan alat penguasaan untuk melakar suatu yang menyebabkan orang terpaksa menerima; mahupun manufacturing decent (penciptaan persepsi secara tidak beretika demi kepentingan tertentu).

“Cabaran kita bukan sahaja berhadapan dengan media arus perdana, malah turut melibatkan media sosial yang membolehkan khalayak membaca, mengulas, menilai dan menegur,” ujarnya.

“Masyarakat lebih mudah membaca rumusan dan hal tersebut bukanlah suatu kesalahan, namun kecenderungan untuk menghukum secara melulu setelah membaca rumusan merupakan satu kesilapan, sama ada dalam dakwah, perbincangan mengenai kaum, politik, ekonomi, sosial serta isu peribadi,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, negara harus kekal utuh sebagai sebuah kesatuan. Meskipun setiap individu itu berhak memperjuangkan identiti budaya, negeri, kaum atau agamanya, sebarang idea dilontarkan ke arah permusuhan dan cercaan tanpa maklumat yang sahih, wajar dikenakan tindakan yang tegas.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) ketika menyantuni tiga orang wartawan veteran, iaitu Murugan Perumal (dua dari kiri), Ng Li Yiao (tiga dari kiri)  dan Rusmin Fadzil (dua dari kanan) yang menerima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.

Sebelum itu, antara pengisian utama yang diadakan bersempena dengan majlis kemuncak tersebut telah berlangsungnya Forum HAWANA 2025 bertajuk “Majlis Media Malaysia: Pengawal Selia atau Pelindung Media?” serta sesi perkongsian teknologi “AI dan Media: Alat, Ancaman atau Peluang?” anjuran BERNAMA dan Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Sesi forum tersebut menjadi platform bagi Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (MMM) untuk mengutarakan pandangan berhubung dengan masa hadapan media selepas Rang Undang-undang (RUU) MMM 2024 diluluskan di Parlimen pada Februari lalu.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan sebagai penghargaan atas sumbangan serta dedikasi mereka dalam bidang kewartawanan, di samping Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan serta Hadiah Pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025.

Mantan Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman (yang diwakili anak sulung, Roz Ariffin Rozaid) merupakan penerima Anugerah Khas HAWANA 2025.
Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong (dua dari kanan) merupakan penerima Anugerah HAWANA 2025.

HAWANA 2025 yang telah memasuki penganjuran kali kelima pada tahun ini setelah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018, dilihat terus menyaksikan peranannya sebagai wadah penyatuan serta penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam bidang media dan kewartawanan.

Yang turut hadir memeriahkan majlis kemuncak tersebut ialah Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Komunikasi, YB Puan Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi BERNAMA, YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, serta barisan pengurusan tertinggi badan media negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi