Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025, melibatkan sebanyak 250 orang pegawai SPRM yang menerima skrol tamat pengajian masing-masing di Bangi Avenue Convention Centre, semalam.

SPRM terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa hadapan dengan memanfaatkan kerjasama strategik antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan profesional.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Azam Baki

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Yang Berbahagia (YBhg.) Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki berkata, satu daripada pencapaian utama inisiatif ini termasuklah kerjasama erat antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan Nottingham Trent University (NTU) di United Kingdom, yang telah melahirkan pelajar lulusan antirasuah bertaraf antarabangsa.

“Lulusan ini bukan sahaja memiliki kepakaran dalam teknologi dan undang-undang, malah turut mencerminkan nilai integriti dan kepimpinan beretika. Kejayaan program ini membuktikan bahawa pencegahan rasuah yang berkesan menuntut lebih daripada kepakaran teknikal semata-mata,” tambah beliau.

Menurut beliau, ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025, pencegahan rasuah memerlukan pembentukan karakter, sistem nilai dan kefahaman mendalam mengenai kerjasama yang merentas sempadan.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk terus menyokong usaha antirasuah, bukan sahaja melalui operasi penguatkuasaan, tetapi juga menerusi pendidikan, penyelidikan, pembangunan polisi dan penggunaan teknologi secara menyeluruh.

“Rasuah masih menjadi ancaman besar yang bukan sahaja menjejaskan kekayaan negara malah turut menghakis nilai murni, melemahkan tadbir urus serta kepercayaan rakyat. SPRM yakin keberkesanan usaha pencegahan rasuah bermula dari rumah, sekolah dan berterusan ke institusi pengajian tinggi,” ujar beliau.

YBhg. Tan Sri Azam Baki juga menyeru semua pemegang taruh untuk terus menyokong usaha antirasuah, iaitu bukan sahaja melalui operasi penguatkuasaan malah turut meliputi pendidikan, penyelidikan, pembangunan polisi dan pendekatan teknologi yang komprehensif.

MACA-YM Tengku Nur Diyana Syamimi binti Tengku Zolnurin
MACA-Nor Hazira binti Mohamad Hasri
MACA-Nurarina Yuslynda binti Usuf

Tiga graduan cemerlang yang menerima Anugerah Akademik Terbaik pada majlis konvokesyen tersebut ialah YM Tengku Nur Diyana Syamimi Tengku Zolnurin (Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership), Nor Hazira Mohamad Hasri (Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership) dan Nurarina Yuslynda Usuf (Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership).

Sejak tahun 2017, SPRM telah melaksanakan dua program bersama NTU, iaitu Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Tahap 7) dan Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Tahap 5).

Dekan Eksekutif, School of Social Sciences NTU, Prof. Daragh McDermott yang turut berucap dalam Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Eksekutif, School of Social Sciences NTU, Prof. Daragh McDermott; Pensyarah Utama Policing and International Law Enforcement NTU, Phil Rudkin; Penasihat Akademik SPRM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed dan Pengarah Kanan MACA, YBhg. Datuk Mohd Hafaz Nazar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi