Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 10 Jun 2025, 20:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan bantuan kewangan, pengurusan pengebumian serta sokongan psikososial kepada waris keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kes kemalangan bas tragik di Jalan Gerik- Jeli berhampiran dengan Tasik Banding pada 8 Jun lalu.

Menurut kenyataan rasmi KPT, kemalangan itu melibatkan sebuah bas yang membawa sejumlah 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu dalam perjalanan pulang ke kampus utama di Tanjong Malim selepas cuti Hari Raya Haji.

“Sebanyak 15 pelajar terkorban manakala 29 pelajar lagi mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Perak untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya”, jelas KPT.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menjelaskan bahawa beliau telah menziarahi keluarga mangsa yang meninggal dunia serta melawat dua pelajar yang sedang mendapatkan rawatan berikutan kecederaan parah turut diiringi oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Perak, pagi semalam.

Sehubungan dengan itu, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan arahan tegas beliau yang mahukan segala bentuk bantuan digerakkan segera bagi membantu mangsa dan keluarga mereka.

KPT menyifatkan sokongan berterusan oleh Perdana Menteri sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan tragedi yang amat menyayat hati itu.

Atas dasar itu, KPT menerusi jabatan-jabatan di bawahnya, termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah menyelaras dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan secara langsung kepada keluarga mangsa termasuk menyalurkan bantuan khairat YPS kepada setiap waris pelajar yang meninggal dunia sebanyak RM2,000.00, bantuan bencana YPS kepada setiap mangsa yang cedera sebanyak RM1,000.00, memberikan sokongan psikososial kepada semua mangsa terutama melibatkan pelajar yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan serta menubuhkan tabung bantuan kemalangan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa.

Pada masa yang sama, KPT turut bersedia menyalurkan bantuan keperluan lain dan sokongan kepada mangsa dan waris keluarga yang terjejas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi