Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lawatan sulung Presiden Poland, Andrzej Duda ke Malaysia bermula semalam menjadi perintis ke arah kerjasama ASEAN dan Majlis Kesatuan Eropah (EU).
Lawatan Presiden Andrzej Duda selari dengan posisi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Poland pula selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun 2025.
Ketibaan Presiden Andrzej Duda dan pasangan, Agata Kornhauser-Duda dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia disambut oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan kerja itu merupakan kunjungan sulung Presiden Andrzej Duda ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2015 dan hal ini amat signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meluaskan kerjasama strategik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Hubungan dua hala ini mencerminkan hubungan erat dan mesra antara kedua-dua negara sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1971, berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain.
Setibanya di Perdana Putra, Presiden Andrzej Duda dan delegasi beliau telah diberikan sambutan rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Lawatan ini dijangka akan merintis jalan ke arah pengukuhan sinergi sedia ada serta meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi, pelancongan, serta pendidikan, demi manfaat dan kemajuan bersama.
Pada tahun 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan dua hala yang meningkat sebanyak RM5.66 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.