Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 8 Jun 2025, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih tiga dekad menjadi inspirasi kepada seluruh warga organisasi atas sumbangan dan dedikasi yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Sebagai tanda penghargaan, sidang editor JendelaDBP berkesempatan mewawancara kedua-dua karyawan ini untuk mengangkat kisah perjalanan perkhidmatan mereka yang sarat dengan pengalaman dan nilai buat warga DBP.

Puan Rosminah Sairnika, warga DBP kelahiran Kota Belud, Sabah secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada 31 Mac 2025  selepas 37 tahun mencurahkan bakti kepada DBP.

Beliau dikenali sebagai individu yang tekun dan berdedikasi dalam bidang pengurusan kewangan serta menjadi sandaran penting dalam memastikan kelancaran operasi kewangan DBP.

Menyorot kembali perjalanan awal kerjayanya pada Februari 1986, Puan Rosminah memulakan langkah di DBP sebelum diserap sebagai kerani sambilan dan kemudiannya dilantik sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W22 pada 20 Julai 1987.

Keprihatinan DBP dalam menjaga kebajikan kakitangan, khususnya melalui kemudahan rawatan panel perubatan menjadi faktor utama beliau terus kekal dalam perkhidmatan awam di DBP.

“DBP antara institut yang menawarkan rawatan kesihatan khas kepada kakitangan DBP berbanding dengan jabatan kerajaan yang lain pada mulanya saya berkhidmat di DBP,” ujar beliau dengan wajah yang penuh semangat.

Puan Rosminah Sairnika menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif tersebut yang dianggap memberikan ketenangan kepada warga kerja untuk mendapatkan rawatan dengan mudah dan efisien.

Berdasarkan rekod pemindahan unit, Puan Rosminah Sairnika pernah dipindahkan ke Bahagian Penerbitan selama setahun, namun dipindahkan semula ke Bahagian Kewangan atas pertimbangan kepakaran dan pengalaman luas yang dimilikinya.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Hashim yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan menjadi sumber bimbingan sepanjang saya bertugas di DBP Cawangan Sabah.

“Sumbangan beliau amat besar dalam membentuk cara kerja dan semangat saya dalam menjalankan tanggungjawab di cawangan ini,” ujarnya lagi,

Selain itu, beliau turut berkongsi cabaran paling besar sepanjang tempoh perkhidmatannya, iaitu ketika terpaksa hadir bekerja di pejabat semasa penularan COVID-19 bagi memastikan bayaran kakitangan DBP dapat diselesaikan tanpa kelewatan.

Jelas beliau,

Cabaran paling besar bagi saya adalah apabila perlu bekerja dari pejabat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan untuk itu, saya perlu mendapatkan surat pengesahan kelulusan daripada pihak pengurusan DBP terlebih dahulu.

“Situasi luar jangka tersebut menuntut penyesuaian segera terhadap kaedah kerja, termasuklah pelaksanaan tugasan secara dalam talian dan pengurusan kewangan yang lebih teliti dalam persekitaran yang amat mencabar,” tambahnya lagi.

Puan Rosminah Sairnika ketika menerima Anugerah Perkhidmatan DBP dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Anugerah Perkhidmatan DBP yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin turut berkongsi pandangannya terhadap Puan Rosminah yang disifatkan sebagai seorang kakitangan yang berdedikasi, mesra dan sentiasa bersedia membantu dalam urusan organisasi.

“Saya mula mengenali Puan Rosminah Sairnika sejak tahun 1991. Beliau seorang yang rajin, berpengetahuan luas dan sering dijadikan rujukan oleh rakan setugas, khususnya dalam kalangan pegawai di Bahagian Kewangan,” ujar beliau.

Selain itu, Puan Rosminah Sairnika turut dikenali sebagai individu yang aktif dalam pelbagai acara jabatan, terutamanya sebagai juruacara majlis rasmi yang sering diberikan kepercayaan kepada beliau untuk mengendalikan acara dengan penuh iltizam dan keyakinan.

Pada masa yang sama, JendelaDBP turut berpeluang menemu ramah Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Encik Azhar Mohamad Dora, seorang lagi karyawan penting yang telah menabur bakti selama hampir 36 tahun di DBP sejak mula berkhidmat pada 3 Januari 1989.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan sumber manusia yang berkesan dan berdaya tahan.

Dalam sesi temu ramah bersama-sama JendelaDBP, beliau berkongsi pengalaman luasnya serta pandangan beliau terhadap perubahan organisasi dari dahulu hingga kini, termasuklah harapan beliau kepada generasi baharu penjawat awam.

“Sepanjang perkhidmatan saya di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, beberapa isu dan cabaran berjaya dikenal pasti serta diselesaikan sebaik mungkin,” ujar beliau.

Antaranya termasuklah penyediaan kemudahan rawatan kesihatan kepada staf DBP, penggubalan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia (PSPSM) DBP 2025–2030 serta pelaksanaan pelantikan secara kontrak bagi membuka peluang kepada masyarakat.

PSPSM DBP yang diperkenalkan berfungsi sebagai panduan utama untuk merangka strategi pengurusan sumber manusia secara sistematik, terancang dan menyeluruh bagi menyokong hala tuju organisasi.

“Pelan tersebut disusun berasaskan tiga teras utama, iaitu peningkatan kapasiti dan keupayaan organisasi, pembangunan tenaga kerja yang berkualiti serta pembudayaan amalan kerja cemerlang dalam kalangan warga DBP,” hurainya lagi.

Sementara itu, dalam usaha menjaga kebajikan warga kerja, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah mengambil langkah proaktif dengan melantik MedCard sebagai panel kesihatan rasmi bagi memudahkan akses rawatan dan mempercepat proses tuntutan.

Antara pencapaian lain sepanjang kepimpinan beliau termasuklah pelaksanaan penstrukturan semula organisasi melalui pelantikan secara kontrak yang memberikan fleksibiliti kepada DBP dalam pengurusan tenaga kerja mengikut keperluan semasa dan keupayaan perbelanjaan.

Sebagai penutup, beliau menitipkan pesanan ikhlas kepada warga baharu yang bakal meneruskan legasi perkhidmatan awam di DBP.

“Jadikan perkhidmatan ini sebagai satu ibadah dan amanah serta amalkan integriti dengan penuh keikhlasan demi kemajuan DBP pada masa hadapan,” ujar beliau dalam nada yang sarat dengan harapan.

Encik Azhar Mohamad Dora, Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia DBP merakamkan gambar di luar bangunan DBP yang menjadi penutup kepada sebuah perjalanan kerjaya beliau yang penuh dedikasi kepada DBP.
Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli/Hanafi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi