Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani isu kepadatan sekolah di seluruh negara melalui pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah tambahan serta penyediaan pelbagai kemudahan baharu di 121 buah sekolah terlibat.
Menurut kenyataan KPM, bilik darjah tambahan tersebut dibina menggunakan kaedah Industrial Building System (IBS) yang membolehkan proses pembinaan lebih cepat dan efisien.
“Penggunaan lukisan Pre Approved Plan (PAP) memastikan pembinaan dapat disiapkan dalam tahun semasa tanpa mengganggu aktiviti pembelajaran,” kata KPM dalam suatu kenyataan rasmi.
Projek ini melibatkan tujuh negeri, dengan jumlah sekolah terbanyak di Selangor sebanyak 103 buah, diikuti Perak (lapan), Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Terengganu (satu), Kuala Lumpur (satu), dan Pulau Pinang (satu). Bilik darjah tambahan ini disediakan untuk aliran perdana serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan peralatan pengajaran yang lengkap.
Selain itu, kos keseluruhan projek ini dianggarkan sebanyak RM88 juta dan pelaksanaannya dikendalikan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
Terdahulu, Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek Naik Taraf Sekolah Berkepadatan Tinggi telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Ahmad Maslan pada pagi tadi.