Diterbitkan pada 5 Jun 2025, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkukuh perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang unggul dan bersifat antarabangsa melalui pengiktirafan kepada warganya yang cemerlang. 

Dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Anugerah Perkhidmatan DBP yang berlangsung pada hari ini dengan tema “Warga Maju, Organisasi di Mercu”, sebanyak 62 karyawan DBP telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas pencapaian prestasi yang membanggakan sepanjang tahun lalu, manakala sebanyak 80 orang penerima Anugerah Perkhidmatan (AP)DBP diraikan atas kesetiaan mereka berkhidmat antara 15 tahun hingga 37 tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika menyampaikan ucapan.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, yang menegaskan bahawa DBP memainkan peranan penting dalam memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja di sektor awam dan pendidikan, malah hingga ke persada antarabangsa.

“DBP mempunyai tiga kekuatan utama, iaitu lidah rakyat yang menyampaikan hasil kajian dan penyelidikan dalam bahasa yang baik, mata rakyat yang memerhatikan perubahan peradaban sepanjang zaman dan minda rakyat yang membentuk pemikiran bangsa,” ujar beliau.

“Kekuatan ini menjadi landasan kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu, memacu kecemerlangan warga DBP dan menjadi institusi tersohor bagi rujukan pemikiran rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian.

YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin turut berpesan bahawa para penerima anugerah digalakkan untuk terus menjadikan kejayaan tersebut sebagai titik tolak untuk pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan, manakala warga DBP lain diingatkan agar terus mengekalkan semangat, komitmen dan dedikasi kepada organisasi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan majlis ini sebagai tanda penghargaan dan motivasi buat seluruh warga DBP.

“Daripada 577 calon yang layak dipertimbangkan bagi APC 2024, hanya sebanyak 62 orang dipilih selaras dengan kuota kelulusan lapan peratus staf. Mereka bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam kerjaya tetapi juga dengan rekod kehadiran yang baik serta sahsiah terpuji,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, warga DBP turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia DBP 2025–2030, yang digariskan sebagai panduan menyeluruh dalam merangka strategi dan inisiatif pembangunan modal insan yang lebih berkesan dan inklusif.

Pelan ini menggariskan enam cabaran utama dalam pengurusan dan pembangunan sumber manusia, yang seterusnya dirangka dalam tiga teras strategik bagi memastikan visi, misi dan hala tuju DBP dapat dicapai dengan jayanya.

Tiga teras strategik mencakupi pemantapan kapasiti dan keupayaan organisasi; pengurusan dan pembangunan pekerja yang berkualiti serta pembentukan budaya kerja yang cemerlang.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBhg. Tuan Haji Md Johari Hasan; Pengarah Bahagian Perjawatan dan Organisasi Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Pauzan Ahmar; Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia DBP merangkap Pengerusi Majlis APC dan AP, YBrs. Encik Azhar Mohamad Dora, Pengarah-pengarah Jabatan, Pengarah Cawangan dan Wilayah DBP, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua bahagian serta karyawan DBP.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi