Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kesedaran tentang usaha menyelamatkan alam sekitar terus diperkasakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (P) Methodist Kuantan (MGSS) apabila seluruh warga MGSS berganding bahu dengan menjayakan program Trash to Cash Siri 4.0, anjuran Kelab Eco School dengan kerjasama strategik SWCorp Malay.
Sebagai kesinambungan program siri 3.0 yang berlangsung pada Disember lalu, inisiatif ini menjadi platform utama dalam membudayakan proses kitar semula dalam kalangan pelajar serta menyokong misi antarabangsa Road to Green Flag ke arah menjadi sekolah lestari.
Program ini bermula seawal pukul 8.00 pagi dengan pengumpulan bahan kitar semula dijalankan secara sistematik mengikut kelas masing-masing dengan sokongan penuh warga sekolah.
Program ini telah dijayakan oleh 20 orang Eco Rangers yang terdiri daripada murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 dengan memainkan peranan aktif dalam melaksanakan tugasan masing-masing seperti mengumpul, mengasingkan bahan kitar semula mengikut kategori, membuat timbangan dan merekod setiap hasil timbangan dengan tepat.


Selain itu, program ini turut dibimbing oleh guru penyelaras iaitu, Encik Ahmad Farihan Abdul Manan bersama-sama dua guru pembantu, Cik Nurul Asyiqin Abdul Razak dan Puan Zaihasra Abdullah.
Dalam program tersebut, menurut guru penyelaras, Encik Ahmad Farihan, program ini bukan sekadar aktiviti kutipan bahan terpakai, tetapi merupakan sebahagian daripada pendidikan alam sekitar yang bersifat jangka panjang.
“Setiap kilogram yang dikumpul membawa makna dan kami sedang membina kesedaran bahawa tanggungjawab terhadap alam sekitar bermula dari diri sendiri dan tindakan kecil.
“Program ini dianggap sebagai batu loncatan kepada misi besar kami, iaitu bagi mendapatkan pengiktirafan Green Flag Eco-School sebagai simbol komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar,” jelas beliau. Beliau turut menyatakan objektif program ini adalah dengan menanam nilai tanggungjawab terhadap kelestarian alam dalam kalangan murid, meningkatkan kesedaran sivik tentang impak pengurusan sisa yang betul dan menjana pendapatan secara lestari sambil menyumbang kepada kelestarian bumi.

Sementara itu, program ini diserikan lagi dengan kehadiran dan sokongan daripada wakil SWCorp, Tuan Mohd Faizol Ab Rahman, yang mengakui bahawa komitmen MGSS sebagai antara sekolah yang aktif dan berdaya saing dalam pelaksanaan program kelestarian.
“MGSS menunjukkan contoh yang baik dalam pengurusan sisa sekolah melalui pendekatan pendidikan dan tindakan bersepadu. Program seperti ini bukan sahaja menyokong inisiatif Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PERKISS), malah turut membentuk budaya hijau dalam kalangan generasi muda,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Syarikat PT Gana Waste telah menghantar tong RORO pada pukul 9.00 pagi dan mengambil semula tong berisi bahan kitar semula yang terdiri daripada kotak, tin minuman, kertas putih, kertas warna, besi, e-waste dan minyak masak terpakai pada pukul 2.00 petang.
Hasil daripada program Trash to Cash, berjaya mengumpul sebanyak 872.9 kilogram (kg) bahan kitar semula dengan kertas putih mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 346.1 kilogram (kg).