Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya –  Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil melancarkan Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Bunuh Diri, hasil inisiatif Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dalam satu majlis yang berlangsung di Menara Star semalam.

Garis panduan baharu berkenaan merupakan antara piawaian yang pertama di dunia, dirangka melalui pendekatan inklusif yang diterajui oleh industri serta pelibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, usaha proaktif CMCF dalam pembangunan garis panduan itu turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, pengamal media, individu yang mempunyai pengalaman sebenar, selain diperkukuh melalui sesi rundingan awam.

Selain itu, beliau berkata CMCF selaku wakil negara telah diundang untuk membentangkan inisiatif ini dalam Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa bagi Pencegahan Bunuh Diri (IASP) 2025 di Vienna, Austria pada bulan ini.

YB Datuk Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Inisiatif ini amat signifikan, bukan sahaja sebagai satu langkah ke hadapan dalam pengawalseliaan kandungan, tetapi juga sebagai cerminan tanggungjawab kolektif yang kukuh untuk memelihara kesihatan mental (masyarakat),” ujarnya ketika berucap dalam majlis pelancaran garis panduan itu.

Jelas beliau, pelaporan mengenai kes bunuh diri merupakan topik yang paling sensitif dan menyayat hati bagi mana-mana wartawan dan penting bagi mereka untuk bertanggungjawab serta berhemah agar tidak mendedahkan terlalu banyak butiran atau lokasi kejadian tragis tersebut.

Hal ini penting untuk kita menunjukkan pertimbangan dan belas kasihan terhadap keluarga individu yang meninggal, di samping terdapat fenomena ‘copycat suicide’ yang berlaku apabila individu lain mengetahui tentang perbuatan tersebut dan cuba menirunya.

Atas dua sebab ini sahaja, kita tidak boleh memandang ringan dalam hal pelaporan dan perkongsian kandungan yang berkaitan dengan kes bunuh diri.

“Dalam ekosistem kandungan hari ini, kandungan tersebar dengan pantas dan meluas; cara kita melaporkan dan berkongsi isu sensitif seperti bunuh diri boleh membentuk persepsi awam dan tindak balas emosi, bahkan turut menjadikan seseorang individu mudah terpengaruh,” katanya.

Tambah beliau lagi, kandungan yang bertanggungjawab tidak memadai berlandaskan piawaian semata-mata, tetapi turut berpaksikan pada empati, kesedaran dan keprihatinan terhadap kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Dalam inti pati ucapannya, beliau memaklumkan bahawa inisiatif tersebut berperanan dalam memperkukuh amalan kandungan beretika sebagai sebahagian daripada pendekatan yang lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan terhadap bahaya kandungan dalam talian.

Malah, beliau menegaskan bahawa pihak kementerian bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menyokong usaha demikian demi memastikan ekosistem kandungan di Malaysia kekal selamat, inklusif dan menyokong kesejahteraan awam.

“Saya menyeru kepada semua pemain industri, sama ada pengamal media, pencipta kandungan, pempengaruh atau pengguna biasa supaya merujuk dan mengamalkan garis panduan ini dalam penghasilan dan penyebaran kandungan harian mereka,” katanya.

Garis panduan ini sangat penting, tetapi penyertaan semua pihak lebih kritikal, bukan sahaja pihak yang sudah menjadi ahli CMCF, tetapi juga mereka yang belum menyertainya.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan keperluan pelibatan lebih banyak platform media sosial dalam CMCF, termasuk X dan Facebook yang didakwa menyumbang kepada persekitaran kandungan toksik dalam talian.

Oleh itu, semua platform berkenaan digesa menyertai CMCF supaya lebih peka terhadap impak kandungan mereka dalam kalangan masyarakat kerana platform tersebut tidak sewajarnya meraih keuntungan atas kesempitan orang lain.

YB Datuk Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) bersama-sama dengan tetamu kenamaan lain ketika menyempurnakan gimik pelancaran Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Bunuh Diri.

Buku garis panduan yang dilancarkan tersebut mengandungi tatacara khusus kepada segmen kumpulan utama seperti pengamal media, penerbit, pengguna media sosial, pempengaruh dan penggiat industri hiburan serta fiksyen dalam menghasilkan kandungan yang berkaitan dengan bunuh diri dan perbuatan membahayakan diri.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Mano Verabathran; Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Dr. Ismuni Bohari; Timbalan Pengarah Urusan MCMC, YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd Yasin; Pengerusi Kumpulan Media Star, YBhg. Tan Sri Wong Foon Meng dan Pengerusi CMCF, YBrs. Tuan Rafiq Razali.

Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi