Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi satu lagi karya yang mampu menawan pembaca dengan memaparkan fakta dan ilustrasi tentang kelawar yang menarik.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola, Yang Berbahagia (YBhg.) Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Anwar Rethwan, buku kelawar ini menampilkan gandingan teks dan ilustrasi bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak melalui pembacaan buku tersebut.
Ujar beliau semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Buku Kisah Kelawar: Penghuni Gua di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, petang semalam,
Buku Kisah Kelawar ini mengandungi fakta penceritaan dan foto yang dapat menarik minat kanak-kanak, selain menceritakan keistimewaan kelawar dalam penceritaannya.
Pemilihan buku tentang kelawar ini menampilkan sisi lain kelawar yang jarang diketahui umum berbanding dengan judul yang sedia ada dalam pasaran sekarang supaya kanak-kanak dapat meneroka perkara yang baharu.
Jelas beliau lagi, buku ini menyediakan maklumat yang lengkap dan mudah difahami oleh golongan kanak-kanak selari dengan tahap kefahaman mereka.
Buku ini turut didatangkan dalam dua versi iaitu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang dikhaskan kepada pembaca dari pelbagai latar belakang untuk meningkatkan literasi dan pembacaan mereka.

Sementara itu, dalam majlis tersebut juga, beliau memperkenalkan penulis dan pelukis buku ini yang telah bersama-sama mengharungi dan bertungkus-lumus dalam menghasilkan buku tersebut.
Ujarnya,
Penulis buku ini adalah bekas pensyarah yang bergiat aktif dalam bidang ekologi pembiakan kelawar. Beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pemikiran yang beliau ada untuk memupuk kefahaman dalam bidang sains melalui caranya yang tersendiri kepada kanak-kanak.

Tambah beliau lagi, DBP sejak penubuhannya telah menjadi nadi utama bagi melahirkan ramai penulis kelahiran DBP serta menghasilkan karya-karya kreatif yang bermutu bagi mendidik generasi muda untuk terus berkarya.
“Semua pihak dari pelbagai latar belakang berpeluang menghasilkan bahan bacaan yang bermutu tinggi kerana ianya sangat penting bagi kanak-kanak yang merupakan penyambung warisan kepimpinan negara pada masa hadapan,” tegas beliau.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah binti Hassan, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, penulis buku tersebut, YBrs. Dr. Nur Atiqah Abdul Rahman dan Puan Nurul’Ain Elias serta pelukis bagi ilustrasi buku, Puan Nurul Faziana Kamal.