Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Inisiatif bantuan pendidikan telah dilancarkan oleh Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) menerusi Yayasan ELMU bernilai lebih RM500,000 bagi menyokong waris mangsa tragedi kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh pada 13 Mei lalu.

Menurut Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU University, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, Yayasan ELMU akan menawarkan satu biasiswa penuh kepada seorang anak atau tanggungan mangsa tragedi itu sebagai tanda solidariti dan sokongan berterusan kepada waris sembilan mangsa yang terkorban dan sembilan lagi yang cedera.
“Biasiswa itu bagi membantu waris mangsa melanjutkan pengajian di ELMU University. Biasiswa tersebut merangkumi yuran pengajian serta kos berkaitan pendidikan,” ujar beliau semasa majlis penyerahan bantuan yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, YBhg. Tan Sri Razarudin Husain di Ipoh baru-baru ini.
Selain itu, Datuk Dr. Kassim selanjutnya berkata Yayasan ELMU turut menyumbang bantuan kewangan segera berjumlah RM22,500 untuk semua keluarga yang terkesan sebagai usaha awal untuk meringankan beban mereka.

Turut memberikan sumbangan, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Kontinjen Perak, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Yayasan Insan Sakan, YAPEIM serta Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. yang berjumlah lebih RM738,000. ELMU University berharap agar sumbangan ini dapat memberikan kelegaan kepada mangsa tragedi berkenaan.
Sekiranya ada keluarga yang berminat untuk memohon biasiswa daripada ELMU boleh menghubungi Yayasan ELMU atau menghubungi Naib Presiden, Jualan Korporat dan Pembangunan Perniagaan ELMU, Puan Faiza Rosly menerusi talian +6013-911 3568 bagi proses saringan kelayakan dan permohonan.