Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang berlangsung di ibu negara semalam, melakar detik bersejarah apabila buat julung kalinya kerjasama trilateral antara tiga buah blok serantau di benua Asia, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Republik Rakyat China direalisasikan menerusi satu pertemuan rasmi.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan tuan rumah pada tahun ini memainkan peranan utama dalam penganjuran sidang tiga hala tersebut, yang disifatkan sebagai pencapaian signifikan dalam sejarah geopolitik antarabangsa.
Pertemuan pertama ini berlangsung bersempena dengan hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, yang menghimpunkan para pemimpin negara anggota daripada ketiga-tiga blok itu, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama strategik merentasi rantau Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Timur.
Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mewakili ASEAN dalam sidang kemuncak itu berkata, hubungan antara ketiga-tiga rantau, iaitu ASEAN, GCC dan China kini sangat mendalam dan berpanjangan, bermula daripada Laluan Sutera kepada rangkaian maritim di Asia Tenggara, hinggalah kewujudan koridor perdagangan moden.

“Gabungan ASEAN, GCC dan China secara kolektif mewakili jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$24.87 trilion dan terus berkembang secara eksponen, dengan populasi (penduduk) sekitar 2.15 bilion,” jelasnya.
Ujar beliau, skala kolektif ini menawarkan peluang besar untuk melaksanakan sinergi dalam pasaran, memperkukuh inovasi dan menggalakkan pelaburan merentas rantau.
“Saya yakin bahawa ASEAN, GCC dan China boleh memafaatkan kekuatan masing-masing yang unik dan membentuk masa depan yang lebih terhubung, berdaya tahan dan makmur untuk generasi akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa KDNK ASEAN telah mencecah AS$3.8 trilion, lantas meletakkan kedudukan ekonomi rantau ini pada tangga kelima terbesar di dunia.
Malah, jumlah perdagangan antara ASEAN dengan GCC bernilai AS$130.7 bilion dengan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak AS$390.2 juta, manakala China pula kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan nilai perdagangan hampir AS$700 bilion dan FDI sebanyak AS$17.3 bilion.
“Keadaan ini menunjukkan hubungan sedia ada sangat kukuh dan potensi besar masih belum diterokai sepenuhnya,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Primier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama (TYT) Li Qiang menegaskan bahawa jalinan hubungan tiga penjuru antara ASEAN dengan GCC dan China bukan sekadar sebuah simbolik, tetapi mencerminkan struktur kerjasama yang kukuh dan stabil.
“Melalui pengukuhan keterikatan dan kerjasama strategik antara ketiga-tiga rantau ini, kita dapat menggabungkan sumber daya, kapasiti pengeluaran dan pasaran untuk membentuk sebuah sistem ekonomi yang berdaya saing,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Qiang turut menggariskan tiga perkara untuk memperkasakan kerjasama tiga hala ini, iaitu mengamalkan keterbukaan ekonomi merentas rantau supaya liberalisasi perdagangan ditingkatkan; melihat perbezaan tahap pembangunan antara negara sebagai peluang melalui perkongsian kelebihan dan penyelarasan dasar makroekonomi serta integrasi antara tamadun melalui pertukaran idea dan meneroka cara baharu untuk mempromosikan kemajuan bersama.
China menyokong penuh inisiatif Perdana Menteri Malaysia mengenai dialog antara Islam dengan Konfusianisme. Kami bersedia bekerjasama dengan ASEAN dan GCC untuk melaksanakan Inisiatif Tamadun Global, mempromosikan pembelajaran bersama antara tamadun dan meningkatkan kesepakatan demi keamanan dan pembangunan sejagat.
Sementara itu, Putera Mahkota Kuwait, TYT Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah selaku Presiden Majlis Tertinggi GCC turut menyeru supaya mekanisme pemantauan yang berkesan bagi hasil sidang kemuncak ini diberikan perhatian yang serius.
Mekanisme tersebut perlu memastikan bahawa segala pemahaman yang dicapai diterjemahkan ke dalam program pelaksanaan yang konkrit, memberikan manfaat langsung kepada negara anggota, serta mencapai matlamat dan aspirasi yang diidamkan bersama.
Dengan kejayaan penganjuran sidang kemuncak pertama ini, ASEAN, GCC dan China dijangka bukan sahaja mewujudkan platform baharu bagi kerjasama ekonomi dan politik, malah turut membuka peluang besar terhadap aspek pembangunan dan keamanan serantau yang berterusan.