Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN–GCC–China secara rasmi membuka tirai pagi tadi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menyaksikan kehadiran ketua-ketua negara anggota ASEAN dan wakil negara pemerhati, Timor-Leste.
Antara pemimpin yang hadir ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto; Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Sonexay Siphandone; Timbalan Menteri Hak Asasi Manusia Myanmar, Aung Kyaw Moe; Presiden Republik Filipina, Ferdinand Marcos Jr.; Perdana Menteri Republik Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh serta Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão.
Dalam ucapan alu-aluan sebelum sesi perbincangan tertutup dimulakan, Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN dan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan para pemimpin ke Kuala Lumpur.
Beliau juga menyentuh tentang ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN yang lahir daripada Kepengerusian Malaysia pada tahun 2015, merupakan satu pencapaian penting dalam integrasi serantau, iaitu merangkumi dimensi politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa sidang kali ini akan menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, iaitu satu pelan jangka panjang yang menuntut komitmen dan tekad bersama negara anggota dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Menyentuh tentang isu semasa, Perdana Menteri mengingatkan bahawa dunia kini berhadapan dengan tekanan geopolitik dan ekonomi yang semakin kompleks, termasuk kebangkitan semula proteksionisme serta pengenaan tarif unilateral baharu oleh Amerika Syarikat (AS).
“Namun begitu, kita bersyukur atas semangat kesatuan ASEAN yang terus utuh. Penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN sebagai respons terhadap tindakan unilateral AS merupakan bukti ketegasan dan keyakinan kita,” tambah beliau.
Dalam isu Myanmar, YAB Dato’ Seri Anwar menekankan bahawa kemajuan telah dicapai melalui pendekatan diplomasi senyap dan pembentukan Kumpulan Penasihat Tidak Formal yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra. Pertemuan terkini turut dipengerusikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan mesyuarat seterusnya akan dianjurkan oleh mantan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.
“Langkah-langkah mungkin kecil, jambatan mungkin rapuh, tetapi seperti kata pepatah, dalam hal keamanan, jambatan yang rapuh lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” ujar beliau.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menggariskan bahawa ASEAN hanya akan kekal relevan jika organisasi ini mempertahankan tatanan antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan dengan aliran bebas perdagangan, modal dan pergerakan manusia.
Dalam perkembangan penting, beliau mengumumkan penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China sebagai pencapaian strategik dalam menyusun semula rangka perkongsian serantau selari dengan realiti dunia multipolar.
“Penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang pasti memberikan impak positif kepada dunia.”
“Kita mesti mempertahankan sistem multilateral dan memastikan model geoekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan bermakna dalam membina masa hadapan yang inklusif dan mampan,” jelas beliau.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menekankan bahawa tema Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, “Inklusiviti dan Kemampanan”, bukan sekadar slogan, tetapi satu strategi berasaskan nilai yang menyatukan pertumbuhan saksama dan ketahanan jangka panjang sebagai teras wawasan rantau ini.
Sebagai rekod, tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaannya dalam blok serantau ini, setelah mempengerusikannya pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.